rap

Biarlah bakat jadi bukti

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BIARPUN lakonannya sebagai Ella dalam filem Rock Bro mendapat pujian ramai pihak namun Amy Juliet akur nasib belum menyebelahinya untuk dikenali peminat dunia seni tempatan.

Menerusi filem pecah panggung arahan Mamat Khalid ini, Amy atau nama sebenarnya

Roziana Ali, 30, turut menunjukkan kebolehannya menyanyi apabila menyampaikan lagu Sembilu nyanyian asal Ratu Rock itu.

"Syukur ramai yang puji kata saya berjaya menghidupkan watak ini. Cuma berlaku kesilapan apabila penerbit terlepas pandang meletakkan nama saya di sepanduk dan poster filem ini sedangkan watak saya boleh dikatakan agak besar.

"Apabila abang Mamat pergi mesyuarat bersama penerbit terbabit, barulah perkara ini diberitahu namun sudah terlambat kerana semua poster sudah dicetak," katanya.

Menurutnya, rata-rata peminat mahu mengenalinya dengan lebih mendalam selepas itu tetapi mengalami kesukaran mencari profilnya.

"Orang tidak kenal siapa saya dan susah untuk "follow" saya di Instagram dan Facebook. Begitu juga dengan syarikat produksi yang hanya kenal saya selepas melihat profil seni.

"Apabila ada program yang menjemput saya sebagai tetamu dan babak filem ini ditayangkan sebagai imbas kembali, barulah orang tahu saya yang membawakan watak Ella dalam Rock Bro," katanya kepada Harian Metro.

Amy berkata, selepas Rock Bro, dia terus berlakon di bawah arahan Mamat Khalid antaranya dalam telefilem 16 Puasa dan filem Semerah Darah.

"Syukur dia masih beri kepercayaan saya berlakon dengan produksinya. Ramai juga peminat bertanya bila saya nak bawa sekuel watak Ella kerana mereka nak lebih daripada itu, tetapi ia di luar bidang kuasa saya.

"Saya sendiri pun tengah berusaha sedaya upaya untuk dikenali dalam industri ini. Tidak dinafikan saya gembira dengan kehendak peminat. Cuma, saya nak mereka tahu bahawa saya bukan hanya boleh jadi Ella tetapi mampu membawakan pelbagai watak lain.

Amy juga menafikan dirinya terikat dengan produksi Mamat Khalid dan bebas berlakon dengan mana-mana produksi sekiranya diberi peluang.

Dalam perkembangan lain, Amy Juliet juga sudah menghasilkan single berjudul Dusta yang akan menemui peminat tidak lama lagi.

Disiarkan pada: February 3, 2018 @ 11:40pm
d