rap

Muahciked: Semua anak ada potensi

Oleh Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Semoga semua pembaca kolum Muahciked sihat hendaknya.

Sebenarnya banyak perkara atau isu yang Adik nak bangkitkan minggu ini, tetapi kita simpan dulu. Minggu ini topik mengenai OKU atau Orang Kelainan Upaya? Kenapa OKU? Bacalah sampai habis. Hehe.

Jika diberi pilihan, tiada seorang pun ibu bapa ingin melihat anak yang dilahirkan dan disayangi tidak sempurna, namun ketentuan takdir tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Ibu bapa harus reda dengan keadaan fizikal dan mental anak OKU.

Kehadiran anak OKU adalah satu cabaran bagi ibu bapa dan keluarga. Anak yang dianggap penyeri dan membawa suasana kegembiraan bertukar sebaliknya.

Namun, itu hanya gambaran kerana Adik percaya ramai ibu bapa terbabit masih mampu bahagia, tersenyum dan gembira kerana hari-hari mereka diwarnai dengan kehadiran anak istimewa itu.

Kehidupan keluarga mempunyai anak atau ahli keluarga terdiri OKU sedikit sebanyak melalui perbezaan dari segi suasana dan rintangan.

Sudah pasti tanggungjawab menjaga anak OKU lebih mencabar dan memerlukan perhatian lebih, kos dan macam-macam lagi.

Biarpun cacat, anak tetap memerlukan kasih sayang sama daripada ibu bapa. Kecacatan tidak menjatuhkan taraf kemanusiaan terhadap individu berkenaan. Jangan membeza-bezakan kasih sayang antara anak normal dan istimewa kerana ini akan memberi kesan kepada anak-anak itu sendiri.

Justeru ibu bapa yang mempunyai anak OKU tetap perlu menjalankan tugas rutin yang sepatutnya terhadap anak. Anak perlu diberi kasih sayang, didikan akhlak dan pendidikan akademik serta agama mengikut kemampuan masing-masing.

Anak mengalami kecacatan penglihatan, pertuturan dan pendengaran mempunyai potensi untuk berjaya seperti anak normal jika diberi latihan dan pendidikan khas.

Mereka juga mempunyai kemampuan mental dan perasaan seperti anak normal, malah ada yang lebih bijak daripada yang normal.

Sebagai ibu bapa, jangan sesekali kita menyisihkan anak syurga ini kerana dengan adanya ibu bapa serta keluarga yang memahami, anak-anak ini ibarat mendapat sinar harapan dalam menempuh kehidupan lebih bermakna.

Bagi Adik, ini hanya ujian kecil kepada ibu bapa dan keluarga. Percayalah seluruh manusia dalam dunia ini ada bahagian ujiannya.

Bahkan, Rasulullah SAW jauh lebih hebat diberi dugaan walaupun baginda dijanjikan syurga.

Bercerita mengenai OKU, sebenarnya Adik kini menyelami dunia mereka. Adik juga menjalani sesi latihan bertutur dalam bahasa isyarat.

Kenapa? Ini kerana adik akan menjalani pengambaran telefilem berjudul Aku Nazmi dan watak dibawa Adik ialah seorang wanita yang pekak dan bisu.

Pada awalnya memang rasa nak putus asa belajar bahasa isyarat. Rasa nak menangis pun ada. Macam tak mampu nak bawa watak ini.

Namun, selepas beberapa hari, pembelajaran makin seronok dan makin mudah! Alhamdulillah, sekarang Adik dah rasa sedikit yakin dan insya-Allah akan buat yang terbaik untuk watak Ilya dalam telefilem itu.

Sesuai dengan pepatah ‘alah bisa tegal biasa’, jika kita praktikkan apa yang diajar, belajar dan terus belajar, insya-Allah akan jadi mudah.

Rasa beruntung juga Adik dapat belajar sesuatu yang baru. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih kan?

Banyak kisah menarik yang Adik dapat daripada kelas itu. Macam-macam ragam dan cerita guru dan pengajar berkongsi dengan adik. Nanti Adik kongsi dengan anda semua okay?

Tahniah buat adik Adik sendiri atas majlis pertunangan yang berlangsung minggu lalu. Ini pun dikira anak istimewa jugak, tapi kategori lain!

Istimewa sebab dia dapat jodoh awal, langkah bendul. Bertuahnya dia. Semoga dipermudahkan segala urusan Nur Sabira Jebat. Amin. #InsanIstimewa

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 3:02am
d