rap

Sudah bahasakan diri 'sayang'

Oleh Cik Pang

Ikutkan bukan sekali dua Cik Pang dengar pasal hubungan mesra antara penyanyi Erni Zakri dan Syamil.

Malah dalam ruangan ini, Cik Pang pernah berkongsi mengenai keakraban mereka berdua.

Cerita terbaru Cik Pang dapat tahu, dua penyanyi itu khabarnya sudah bersikap terbuka mengaku mereka sebenarnya serius bercinta.

Iyalah! Mereka sering memberi pelbagai alasan dan berdolak dalih tatkala disoal teman media mengenai status hubungan mereka sebelum ini.

Menurut teman Cik Pang, hubungan cinta mereka betul-betul berputik selepas Erni putus cinta dengan bekas kekasihnya.

Bak kata orang tua-tua, situasi Erni kiranya diibaratkan seperti patah tumbuh hilang berganti.

Antara yang menguatkan kisah cinta mereka adalah masing-masing sudah membahasakan diri dengan panggilan sayang!

Malah dengar cerita, keluarga Erni pun sudah merestui hubungan cinta mereka. Kalau betullah apa yang didengar, tidak lama lagi bakal makan nasi minyak lah ya!

Pendapat Cik Pang, mereka memang sepadan. Bukan saja memiliki bakat nyanyian luar biasa, malah antara penyanyi muda yang sedang menempa nama di dalam industri muzik tempatan.

Cik Pang doakan semoga hubungan cinta yang baru terjalin antara mereka berdua berterusan sampailah ke jenjang pelamin ya! Amin!

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 3:10am
d