rap

Tunggu kejutan kami

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Debaran Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL32) yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 11 Februari ini kian terasa dan pastinya peserta sudah menetapkan corak persembahan masing-masing.

Penyanyi utama kumpulan Caliph Buskers, Azmi; Hazama dan Haqiem Rusli mengakui sudah ada corak sesuai untuk persembahan pada malam kemuncak nanti.

Sewaktu ditemui ketika mempromosikan AJL32 di tapak busking Sogo minggu lalu, Azmi atau nama sebenarnya Khirul Azmi Mohd Saat berkata, Faizal Tahir mengubah suai sususan muzik lagu yang bakal dipersembahkan mengikut kesesuaian vokalnya.

Seperti yang diketahui umum, Azmi menggantikan Faizal Tahir mendendangkan lagu Sejati ciptaan sepenuhnya komposer dan penyanyi prolifik itu.

“Saya turut belajar bagi memantapkan vokal tetapi tidaklah keterlaluan.

Saya lakukan latihan yang sesuai dengan kemampuan suara dan penghayatan,” katanya.

Azmi turut menegaskan, walaupun nanti ada corak persembahan lain yang dipaparkan sebagai gimik, dia tidak akan berasa terganggu.

“Pihak syarikat rakaman Faizal Tahir, Warner Music turut merancang sesuatu untuk malam persembahan nanti. Saya serahkan segalanya kepada mereka untuk menentukan apa yang terbaik,” katanya.

Buat kali keenam, Hazama melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu (AJL) dan dia sangat berbesar hati terus dipilih untuk bersaing di pentas AJL32.

“Alhamdullilah, saya masih diberi peluang. Walaupun sudah lima kali menyertai AJL dan tidak memenangi apa-apa, saya tidak pernah mengeluh mahupun patah semangat. Bagi saya, penyertaan kali keenam ini adalah penanda aras apatah lagi lagu saya dipilih juri berkaliber,” katanya.

Ada yang berpendapat penyertaan Hazama hanyalah sebagai penyendal bagi melengkapkan jumlah artis yang bertanding pada malam AJL32.

Menjawab isu itu, Hazama berkata, ia tidak sepatutnya dibangkitkan kerana yang dipertandingkan adalah lagu dan karya yang didendangkan.

“Saya sedar zaman kegemilangan dan kemuncak saya sudah lepas. Sekurang-kurangnya apabila saya masih dipilih juri untuk bertanding di pentas prestij seperti AJL32 ini bermakna muzik yang saya ketengahkan masih digemari dan ia berkualiti pada pandangan mereka.

“Saya berasakan sudah tiba masanya industri memberikan laluan kepada orang baru. Saya sudah laluinya ketika awal kemunculan dulu. Namun, pembabitan saya dalam AJL32 boleh dilihat sebagai petanda muzik saya masih berkualiti dan itu yang mahu saya lakukan sekarang,” katanya.

Berkongsi corak persembahan bakal ditonjolkan, Hazama sebelum ini penuh dengan gimik setiap kali beraksi di pentas AJL berkata, dia bakal menampilkan kelainan.

“Tiada lagi gimik dan apa yang diketengahkan kali ini sejajar dengan kematangan usia dan pembabitan saya dalam bidang muzik. Saya mahu fokus pada muzik sepenuhnya.

“Tambahan pula, saya menjadi satu-satunya penyanyi yang tampil dengan kumpulan muzik. Pastinya kelebihan itu mahu saya gunakan sepenuhnya,” katanya.

Haqiem yang diramal menang besar menerusi lagi ciptaaan Gouffran dan Ibnu berkata dia tidak menyasarkan gelaran juara memandangkan persaingan sangat sengit.

“Cukuplah dengan memberikan persembahan terbaik dan memuaskan hati peminat serta ibu ayah yang menyokong saya selama ini,” katanya.

Haqiem turut berasakan lagu Sejati mempunyai peluang besar untuk menang.

“Kalau cakap soal vokal, Dayang Nurfaizah calon paling tepat kerana susah untuk kita lihat dia menyanyi sumbang. Hafiz juga tidak pernah melakukan kesilapan apabila menyanyi di pentas berprestij,” katanya.

Mengulas corak persembahannya nanti, Haqiem berkata, dia akan bawa ‘pasukan’ di atas pentas nanti dan ia akan menjadi kejutan buat peminatnya.

“Sebagai persiapan saya banyak melakukan latihan vokal dan meningkatkan stamina dengan berenang,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2018 @ 3:14am
d