rap

Suka bergurau panggil 'sayang'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

TULAR di portal hiburan semalam mengenai hubungannya dengan penyanyi, Ernie Zakri, Syamel, 25, tampil menafikan mengenai gosip percintaan itu.

“Dalam berita itu ada dua perkara disebut. Pertama adalah mengenai panggilan ‘sayang’ saya kepada Ernie dan satu lagi mengenai restu keluarga untuk hubungan kami.

“Saya ingin menjelaskan bahawa artikel itu dikeluarkan tanpa ada sebarang sesi temu bual bersama saya. Jadi, saya sendiri tertanya-tanya mengenainya,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly, kerapatan antara dia dan Ernie hanyalah sebagai kawan baik dan dia memang suka bergurau dan menggunakan panggilan ‘sayang’.

“Kalau yang mengenali rapat diri saya, tentunya sedia maklum bahawa saya ada seorang yang suka bergurau.

“Saya tak sangka pula, ada pihak yang terdengar saya memanggil Ernie dengan panggilan ‘sayang’ menganggap kami ada hubungan istimewa,” katanya.

Mengenai berita keluarga merestui hubungan kedua-dua mereka, Syamel sendiri terkejut apabila ibunya bertanya kepadanya mengenai hal itu.

“Saya dan Ernie masing-masing ada keluarga. Ibu saya sendiri terkejut dan bertanya kepada saya mengenai berita itu.

“Saya tak mahu keluarga kami rasa tak selesa dengan adanya berita sebegitu,” katanya.

Tambahnya, kalau benar mereka menjalinkan hubungan lebih daripada sekadar kawan, dia dan Ernie sudah akan berkongsi mengenainya.

“Kita bukan berada dalam industri hiburan Hollywood. Buat apa nak berahsia. Kalau betul kami bercinta, saya akan maklumkan dan mengaku,” katanya.

Syamel bagaimanapun tidak mahu perkara itu mengganggu konsentrasinya dan Ernie untuk melakukan persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) yang akan berlangsung Ahad ini.

“Saya tahu, semakin dekat dengan AJL, mesti akan ada lebih banyak kontroversi dan cabaran buat kami.

“Lebih-lebih lagi, kami pun memang banyak luangkan masa bersama untuk sesi latihan dan sebagainya. Namun, ia hanyalah atas urusan kerja,” katanya.

Syamel akan bertanding untuk dua lagu iaitu Aku Cinta, duet bersama Ernie dan Lebih Sempurna secara solo.

Disiarkan pada: February 6, 2018 @ 6:52pm
d