rap

Toy tak menyesal

Oleh Norhayati Nordin

PEMAIN gitar bass yang juga bekas ketua kumpulan Hyper Act, Toy Nizam, 41, mengaku dia tidak menyesal dengan keputusan untuk bergerak solo dalam karier seninya kini.

Toy atau nama sebenar, Khairul Nizam Baharom juga menafikan dakwaan dia angkat kaki tinggalkan Hyper Act kerana merajuk dituduh gila kuasa dan sikap suka mengawal yang menjadi punca dua vokalis terdahulu kumpulan itu disingkirkan.

"Saya tidak menyesal pun pilih langkah untuk bergerak solo sekarang, apatah lagi merajuk dengan Hyper Act kerana pelbagai tuduhan negatif yang dilemparkan.

"Apa yang saya lakukan kini adalah berusaha bina karier seni secara solo. Ia dibuat dengan rela hati dan atas pilihan sendiri.

"Malah, pembabitan bermain muzik dengan 'band projek' juga adalah salah satu sasaran untuk karier nyanyian solo saya," katanya.

Toy berkata apa yang pasti dia tetap memantau kemajuan peningkatan Hyper Act dari belakang tabir.

"Penting untuk saya melakukannya bagi memastikan Hyper Act tidak terus dibelenggu masalah dalaman kumpulan.

"Saya juga sanggup lakukan apa saja demi Hyper Act termasuk menyertainya semula jika khidmat memang diperlukan" katanya.

Toy juga mengakui rindu untuk beraksi di pentas bersama Hyper Act memandangkan dia adalah pengasas kumpulan yang kini popular dengan single Kasih itu.

"Perasaan rindu memang ada, apatah lagi saya yang bertanggungjawab menubuhkan Hyper Act.

"Jadi, memang tipulah kalau saya kata tidak rindukan Hyper Act langsung," katanya.

Hyper Act ditubuhkan pada 2009 popular menerusi lagu seperti Harapan, Hanya Aku, Takkan Pergi, Ku Tiba Lagi dan Bukan Untukku

Kini, Hyper Act dibarisi vokalis baru dan ketiga, Firman Bansir, Sharizan Syarifudin atau Etan selaku pemain gitar ritma, Md Zakir Mohd Rahizan (Akir, keyboard), Ezanear Baba Ahmad (Ejam, dram) dan Ahmad Azri Aziz (Loco, keyboard).

Disiarkan pada: February 7, 2018 @ 1:05pm
d