rap

Resipi masakan dalam drama

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Seiring penjenamaan semula stesen televisyen ntv7, pelbagai drama Melayu bakal diterbitkan untuk tontonan masyarakat.

Satu daripadanya adalah drama 13 episod Dapur Kongsi yang diterbitkan Pendeta Malaya Production.

Drama berkonsepkan masakan dalam drama itu menampilkan Awal Ashaari, Siti Elizad dan Adam Didam (Hero Oven) selaku watak utama bakal menemui penonton di ntv7 pada 5 Mac ini jam 10 pagi.

Pengarahnya, Izuan Mokhtar berkata, drama ini berbeza daripada kebanyakan drama sedia ada selain memberikan idea kepada penonton untuk menyediakan menu harian.

“Idea asal mahu terbitkan program masakan. Namun, disebabkan terlalu banyak program sebegini, saya tukar kepada semi drama. Saya ingin menyuntik eleman baru dalam penerbitan sesebuah drama. Dalam erti kata lain, saya tidak mahu penonton berasa bosan.

“Drama ini menjanjikan kelainan dari segi jalan cerita. Ia bukan sepenuhnya drama tetapi kami turut paparkan menu masakan pada setiap episod. Kata orang, sambil tengok drama boleh dapat resipi baru,” katanya.

Menurut Izuan, menariknya drama yang menjalani penggambaran selama 15 hari itu adalah setiap menu disediakan sendiri pelakon drama itu.

Bagaimanapun, Izuan akui dia dan pasukan tidak berdepan kesukaran sepanjang penggambaran kerana dibantu tenaga kerja profesional.

“Penggambaran ini tidak susah cuma perlu teliti dari segi menu yang disediakan. Setiap episod ada dua menu sihat daripada Adam. Menu dipilih pula ringkas dan mudah untuk disediakan penonton terutama golongan bujang.

“Terlebih dulu, kami dan pihak stesen TV berbincang menu yang ingin dipaparkan. Sebagai pengarah, tidak ada masalah nak fokus drama atau masakan. Sebab kedua-duanya berjalan dalam satu masa.

“Kami juga turut menyediakan senarai bahan digunakan dalam setiap menu bagi memudahkan penonton mendapatkannya,” katanya.

Dapur Kongsi menceritakan Remy (Awal Ashaari) sering gagal dalam memikat wanita dan cintanya ditolak puluhan kali.

Dia hampir kecewa tetapi pada satu hari, dia berjumpa dengan Mia (Siti Elizad), seorang gadis yang menyukai lelaki yang pandai memasak.

Remy bertekad memenangi hati Mia dan dengan bantuan Sam (Adam Didam), Remy mula belajar memasak.

Selain tiga pelakon utama itu, Dapur Kongsi turut menampilkan beberapa pelakon jemputan pada setiap episod.

Antaranya, Scha Alyahya, Erma Fatima, Jasmine Suraya, Shuk Hot FM dan Cef Fikree.

Berikan yang terbaik

Bagi pengacara Awal Ashaari, drama itu adalah kemunculan semulanya dalam bidang lakonan selepas enam tahun tidak berlakon.

“Apabila sudah lama tidak berlakon, diakui timbul sedikit rasa kekok. Namun, memandangkan pengarah pun kawan lama, jadi segalanya okey dan mudah. Lagipun, drama ini santai dan tidak penuh dengan drama.

“Pada masa sama, saya diberi kebebasan untuk memainkan karakter Remy. Saya juga beruntung apabila rakan pelakon ‘sporting’ dan kami boleh serasi. Pendek kata, sepanjang penggambaran segalanya berjalan lancar,” katanya.

Awal berkata, drama itu memberikan pengalaman baru untuknya kerana diberi peluang memasak dan menyediakan masakan.

“Saya memang suka memasak tetapi bukan semua jenis masakan boleh dibuat. Jadi, apabila berlakon drama ini, saya dapat banyak menu baru. Kalau menu ringkas dan mudah disediakan, saya cuba buat di rumah.

“Memandangkan Adam memang ada kepakaran memasak, saya banyak belajar daripadanya. Pada masa sama, sepanjang penggambaran ini saya dapat ilmu baru,” katanya.

Sementara itu, Siti Elizad akui seronok dapat berlakon dalam drama itu kerana dia boleh lari daripada watak berat yang sering dilakonkan.

“Saya seronok dan gembira dapat berlakon drama ini. Ditambah pula dengan pengarah yang sempoi, jadi memang tidak ada sebarang masalah. Ikutkan saya nak berehat selepas tamat penggambaran drama Syurga Yang Kedua tetapi apabila Izuan tawarkan drama ini saya terus kata okey.

“Pada masa sama, watak Mia pula tidak membebankan jadi tidak sukar untuk saya. Selain itu, berlakon dengan Awal dan Adam sangat ‘enjoy’. Tidak susah untuk kami mendapatkan keserasian itu,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2018 @ 2:50am
d