rap

Strategi pikat pelbagai kaum

Oleh Najiy Jefri

Saban tahun dunia hiburan tanah air tidak pernah sunyi diwarnai dengan pelbagai trend terkini untuk menarik perhatian penonton filem dan drama tempatan.

Dalam keghairahan pelaku seni mencipta fenomena tersendiri, tidak dinafikan terdapat strategi yang berjaya mencuri perhatian, malah ada juga gagal sehingga dipandang sepi oleh masyarakat.

Melihat cabang industri drama, karya adaptasi novel kini menjadi kegilaan masyarakat bukan saja membawa budaya baharu yang menakutkan malah pelaku seni ini dianggap tandus idea bagi membantu penonton membina kehidupan.

Bagi menambah baik dan menepati sasaran terbabit, Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL) kini diperluaskan apabila menggabungkan empat saluran televisyen milik Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad iaitu TV3, ntv7, 8TV dan TV9.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Johan Ishak berkata gabungan itu dibuat untuk membuka peluang kepada masyarakat berbilang kaum terbabit dalam penganjuran acara tahunan itu.

“Jika sebelum ini DFKL hanya tertumpu kepada TV3, kali ini kami ingin membuka platform lebih luas iaitu penyertaan penonton Cina dan Melayu urban menerusi saluran 8TV serta ntv7.

“Sebagai permulaan, kami melantik pelakon dan pengacara terkenal 8TV, Pauline Tan sebagai duta DFKL 2018. Selain popular dalam kalangan penonton saluran itu, dia dilihat mampu menggalas tanggungjawab itu,” katanya pada sidang media DFKL 2018 di Ara Dmansara.

Mengulas lanjut penganjuran acara itu, Johan berkata objektifnya masih menumpukan pembangunan dalam penerbitan drama tempatan.

“DFKL mengekalkan fokus mahu mencungkil bakat baru dan memberi peluang kepada anak muda menimba ilmu bersama panel berpengalaman dalam industri drama.

“Ia juga peluang keemasan kepada anak muda menunjukkan bakat terpendam. Kami mengalu-alukan orang ramai mengekspresikan imaginasi dan kreativiti mereka untuk mengambil bahagian dalam pertandingan dianjurkan serta menyertai bengkel bersama panel jemputan” katanya.

Bertemakan #masauntukdrama, komponen DFKL 2018 menyediakan platform mengasah bakat seperti pertandingan drama pendek peringkat awam dan sekolah menengah, sesi pembentangan idea dan uji bakat lakonan.

Antara barisan panel yang bakal berkongsi ilmu mengenai pengarahan dan pembikinan filem di bengkel DFKL 2018 ialah Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Datin Diana Danielle, Fasha Sandha, Sheila Rusly dan Shahrulezad.

Seorang lagi pelakon terpilih sebagai duta ialah Syazuwan Hassan, bintang baru yang bakatnya digilap menerusi DFKL dua tahun lalu.

Mengulas lanjut kegilaan pengarah dan penerbit terhadap menyalurkan drama rantaian yang diadaptasi daripada kisah cinta novel, pengarah Erma Fatima berkata dia kecewa melihat penggiat seni yang seakan-akan ketandusan idea untuk menghasilkan skrip baru buat penonton.

“Kebanyakan skrip menampilkan jalan cerita yang sama. Sebuah naskhah itu bermula daripada skrip. Kalau naskhah itu tak bagus, letaklah pengarah atau pelakon hebat pasti tidak akan kemana.

“Itulah pentingnya skrip, Saya kurang suka melihat kebanjiran novel dijadikan drama atau filem. Ia memperlihatkan bahawa negara tiada penulis skrip yang berkualiti hingga tergamak menceduk idea penulis novel.

“Jujur saya lihat Malaysia banyak pengikut berbanding menjadi seorang pelopor untuk sesebuah karya itu,” katanya.

Ditanya mengenai selera penonton yang mendambakan drama adaptasi novel, Eerma memberitahu, selera manusia boleh berubah seandainya bijak menyusun stratergi.

“Kalau kita boleh menghasilkan skrip yang boleh membuka minda penonton, takkan penonton tidak mahu menonton. Saya percaya jika kita ubah sekarang, pasti mereka dapat terima.

“Kalau ikut selera penonton semata-mata, rosaklah industri seni tanah air,” katanya.

Erma yang bertindak sebagai panel memberitahu menerusi DFKL 2018 dia ingin mengasah bakat penulis muda untuk menghasilkan skrip berkualiti dan menepati cita rasa penonton.

Sementara itu, Pauline yang dilantik sebagai duta DFKL 2018 berkata, dia akan menggunakan platform media sosial untuk menarik lebih ramai kaum Cina menyertai dan mengeksperikan idea menerusi bengkel yang dijalankan.

“Pada peringkat permulaan ini cara terbaik adalah menguar-uarkan kepada pengikut di laman sosial. Sejak saya mempromosikan objektif DFKL, ramai yang mahu menyumbang idea kreatif.

“Saya percaya, sekiranya ramai lagi selebriti mengambil bahagian dalam memartabatkan industri drama dan filem, pasti kita dapat mencapai sasaran dan menghasilkan drama berkualiti tinggi,” katanya.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 4:03am
d