rap

Tayang eksklusif filem Chong Wei

Oleh Michelle Gun

FILEM biografi jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berdurasi selama 133 minit di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini akan menjadi tayangan perdana terbesar di rantau Asia.

Menurut produser Josiah Chieng, tayangan perdana skala besar menerusi layar gergasi LED berukuran 40 X 17 meter itu akan bermula 6.30 petang dan dijangka disaksikan oleh 20,000 penonton.

Ia julung kali dianjurkan di Malaysia.

"Ini kali pertama acara seumpama itu di Malaysia dan juga Asia. Malah, tayangan perdana itu akan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records dan Asia Book of Records," katanya pada sidang media, hari ini.

Katanya, versi panjang itu hanya eksklusif untuk acara berkenaan dan bukan di pawagam kerana mahu menonjolkan perjuangan Chong Wei dengan lebih mendalam kepada penonton.

"Durasi lama kurang sesuai untuk pawagam kerana mengurangkan jumlah tayang.

"Filem itu memaparkan perjalanan Chong Wei menjadi pemain badminton nombor satu negara daripada kecil sehingga sekarang," katanya.

Josiah turut memberi jaminan pihaknya akan memastikan naskah arahan Tee Bee Leng itu tidak akan disiarkan secara haram di atas talian seperti berlaku terhadap beberapa filem sebelum ini.

"Sudah pasti kami akan mempertingkatkan kawalan keselamatan agar isu terbabit tidak berlaku.

"Saya berharap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan kerana filem ini boleh menjadi inspirasi kepada penonton untuk tidak berputus asa dalam mencapai kejayaan," katanya.

Ujar Josiah lagi, filem yang menarik banyak pelaburan itu juga akan ditayangkan di Hong Kong, Taiwan dan beberapa pesta filem antarabangsa.

Menampilkan barisan pelakon Datuk Rosyam Nor, Tosh Chan, Ashley Hua dan Agnes Lim, filem itu akan mula ditayang di pawagam seluruh negara pada 15 Mac ini.

Setakat ini, sebanyak 10,000 tiket tayangan perdana filem Lee Chong Wei sudah dijual.

Dalam pada itu, pihak penganjur akan menjemput skuad badminton negara yang menjuarai Piala Thomas 1992 untuk acara penuh bermakna ini.

Tiket tayangan perdana filem Lee Chong Wei bermula pada harga RM88 hingga RM168 boleh dibeli di kaunter tiket Axiata Arena, Bukit Jalil atau menerusi laman web www.leechongweimovie.com.

Disiarkan pada: February 9, 2018 @ 9:08pm
d