rap

Pelakon penuhi kehendak skrip

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Berikutan dikecam hebat kerana memilih usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri sebagai teraju utama filem Badang, Datuk Dr A Razak Mohaideen akhirnya tampil memberi penjelasan.

Tegas A Razak, dakwaan netizen bahawa Aliff penyumbang dana karya arahannya itu adalah tidak benar sama sekali.

“Filem ini adalah terbitan FiTA Studios dan UiTM Holdings sepenuhnya. Ia menelan belanja RM2.2 juta dan tiada kaitan dengan Aliff. Dalam filem ini dia dibayar untuk berlakon dan bukanlah bertindak selaku penyumbang modal,” katanya.

Dengan penjelasan ini, A Razak berharap isu yang hangat diperkatakan dalam media sosial itu tidak disensasikan lagi.

Mengulas lanjut naskhah genre fantasi ini selepas kali pertama menghasilkan filem Duyung pada 2008, A Razak berkata, ia paling mencabar setakat ini.

“Sangat mencabar bila mengarah orang baru. Sebenarnya saya sudah jangka perkara ini berlaku. Meski banyak kali marah dan hilang sabar, saya anggap ini sebagai dugaan dalam dunia pengarahan. Apapun, hasilnya tidak mengecewakan dan saya bangga dengan mereka,” katanya.

Pengarah yang popular dengan filem Anak Mami The Movie ini juga mengakui teruja kerana semua pelakon memenuhi kehendak skrip selepas menjalani latihan intensif selama beberapa minggu.

“Saya pasti bukan semua pengarah sanggup sahut cabaran ini dan saya berpuas hati dengan persembahan semua pelakon filem Badang,” katanya.

A Razak juga memuji Fasha Sandha yang sanggup memotong pendek rambutnya dalam babak bersama Taiko lakonan Fauzi Nawawi.

Lebih menarik, filem ini menggunakan CGI hampir 30 minit daripada keseluruhan durasi tayangan. Malah, Badang mendapat sentuhan Yusri Abdul Halim yang sebelum ini bertanggungjawab menghasilkan CGI untuk filem Duyung, Cicakman, Hikayat Merong Mahawangsa dan Vikingdom.

Mungkin tuah Badang, A Razak akui, filem ini sudah mendapat kepercayaan daripada pengedar luar negara yang berminat untuk mengalih ke lima bahasa untuk pasaran seluruh India.

Fasha diberi kebebasan

Menerima pujian pengarah dek keberaniannya mengorbankan rambut panjang, Fasha berkata, ia kerana hubungan baiknya dengan A Razak sejak 12 tahun lalu.

“Sudah lama saya bekerja dengan dia. Saya bersyukur sebab mendapat pasukan produksi yang bagus dan bekerja kuat bagi memastikan setiap penggambaran berjalan lancar.

“Seronok sebab kami semua sudah seperti keluarga dan saling bantu-membantu,” katanya.

Tambahnya, pengarah akan berikan komitmen 100 peratus lantas menjadikan suasana di set lebih profesional.

Fasha juga berpendapat, karakternya kali ini ada kelainan dan diberikan kebebasan mewarnainya.

Katanya, dia boleh lakukan apa yang dirasakan sesuai kerana pengarah memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk membentuk watak itu.

Malah, dia sendiri yang merancang dengan pelakon utama, Aliff Syukri untuk menjadikan watak Bad orang yang ‘macho’.

“Saya harap penonton janganlah cepat mencari kesalahan tanpa menonton filem ini terlebih dulu. Apa yang saya boleh katangan, karya ini dapat menghiburkan kanak-kanak,” katanya.

Selain Fasha dan Aliff, Badang yang bakal menjengah pawagam pada 15 Februari ini turut dibintangi Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi, Azhari Zain dan ramai lagi.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 12:31pm
d