rap

Rea, Faeez nikah 18 November

Oleh Najiy Jefri

PENYAMPAI radio Kool FM, Rea yang selamat bertunang dengan

pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim semalam, bakal bernikah pada 18 November ini.

Rea atau Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad, 29, berkata, mereka hanya akan mengadakan majlis bernikah disusuli acara resepsi membabitkan kedua belah keluarga.

“Alhamdulillah pertemuan kali pertama antara kedua-dua belah keluarga berjalan dengan baik. Majlis bertunang semalam berlangsung di rumah keluarga saya di Kuala Terengganu.

“Pada majlis semalam keluarga kami bersepakat memilih 18 November depan sebagai tarikh pernikahan dan majlis akan diadakan di Damansara,” katanya.

Menurut Rea, dia bersyukur ahli keluarga merestui pilihan hatinya selepas setahun berkenalan dengan pemuzik itu.

“Keluarga saya tidak pernah menetapkan untuk memilih pasangan hidup . Asalkan ia sesuai dan kena dengan pilihan hati saya.

“Lagipun sepanjang setahun berkawan, saya jatuh hati dengan cara dia melayan keluarganya apabila mengutamakan ibu bapanya. Dia juga seorang yang penyayang dan lemah-lembut,” katanya.

Pada majlis pertunangan itu, Rea dan Faeez tampil jelita dengan busana kurung berwarna biru.

Majlis menyarung cincin pertunangan itu hanya dihadiri sekitar 50 tetamu membabitkan keluarga kedua belah pihak.

Disiarkan pada: February 11, 2018 @ 3:44pm
d