rap

Baru 'nak up' kata mereka

Oleh Ardini Sophia Sina

VOKALIS kumpulan Pesawat, Hudzaifei Hazmi, 37, mengakui mereka tidak berkecil hati ada segelintir individu menganggap kumpulan itu baru saja bertapak dalam industri seni suara.

Katanya, mereka membuat andaian sebegitu adalah daripada kalangan peminat baharu yang menyokong Pesawat sejak dua bulan lalu selepas tampil dengan lagu berjudul Luluh.

"Kami tidak terkesan pun kalau ada menganggap Pesawat tergolong dalam kategori budak-budak baru nak up. Tambahan pula, ia hanyalah sangkaan pertama mereka selepas mendengar lagu Luluh.

“Selepas mengikuti perkembangan kami, mereka sendiri tahu bahawa Pesawat sebenarnya sudah 10 tahun mencipta nama dalam industri muzik tanah air bermula dengan lagu Mirage.

“Walaupun sudah bertapak dalam tempoh lama tetapi tidak ada sebab untuk kami bersikap sombong dan membangga diri. Kami tidak rasa pun kami hebat,” katanya yang mesra dengan panggilan Jipie.

Selain Jipie, kumpulan itu turut dianggotai oleh Syaherman Johar (Mann/gitar bass), Mohd Nizam Kamal (Nizam Camel/gitar) dan Hirwan Hatta (Kudux/dram).

Mereka turut meluahkan rasa gembira kerana lagu itu berjaya menarik pendengar baharu.

“Agak lama kami senyap tanpa lagu baharu. Luluh adalah lagu pertama yang menunjukkan sisi kematangan kami dari segi penulisan lirik dan susunan muzik.

“Mungkin ada yang merasakan ia agak berbeza dengan lagu-lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini tetapi identiti Pesawat masih kuat dalam Luluh,” jelas Jipie.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 5:26pm
d