rap

Terima kasihlah Fathia...

Oleh Georgie Joseph

KOMPOSER yang juga anggota band IAmNeeta, Patrick Anohada mengakui tiada masalah lagu Sakit nyanyian band itu disalah sangka sebagai lagu baru pelakon Fathia Latif.

Video muzik Fathia menyanyikan lagu itu dalam versinya sendiri menjadi trending baru-baru ini selepas dimuat naik di YouTube dan ramai memuji nyanyiannya.

Bagaimanapun, ada segelintir pihak yang bertindak mempromosikan video berkenaan dengan kapsyen mengatakan ia adalah lagu baru pelakon itu.

“Sebenarnya kesilapan itu tidak disengajakan dan vokalis kami Neeta sedikit terasa memandangkan Sakit adalah lagu IAmNeeta. Disebabkan itu, dia menyuarakan rasa kecewa.

“Bagaimanapun, kami sudah memberi kebenaran kepada Fathia membuat ‘cover version’ lagu itu. Saya sendiri tidak sangka lagu Sakit mendapat sambutan luar biasa.

“Bagi saya tiada masalah pun atas kekeliruan yang berlaku. Sebaliknya ia bagus untuk kami lebih dikenali terutama pendengar tidak tahu kewujudan IAmNeeta selama ini”, katanya.

Sejak dilancarkan empat hari lalu, muzik video mendapat lebih 330,000 tontonan dan pernah mendapat trending nombor dua di platform muzik itu.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 6:56pm
d