rap

Issey janganlah macam tu

Oleh Norhayati Nordin

PELAWAK dan pelakon komedi, Issey Fazlisham, 31, menafikan dakwaan persembahannya gagal menyerlah di pentas Bintang Bersama Bintang (BBB) pada setiap minggu kerana kurang dibantu bintang undangannya.

BBB disiarkan TV3 setiap Ahad, 10 malam menampilkan enam pelawak iaitu Issey, Abam, Achey, Syuk, Ajak dan Mark Adam bersaing merebut gelaran juara.

Sudah empat minggu bersaing, persembahan Issey seakan jauh ketinggalan dan kurang menyerlah berbanding pelawak yang lain.

Issey atau Fazlisham Mat Hussin berkata dia melihat persaingan ditunjukkan pelawak lain termasuk penyanyi, Mark Adam sangat hebat.

"Bagi saya, apa yang berlaku dalam persembahan dibuat bukan berpunca kerana tidak mendapat kerjasama bintang undangan sebaliknya mungkin kelemahan diri sendiri.

"Ini kerana ada di antara jalan cerita lawak yang saya ketengahkan agak berat dan secara tidak langsung mesej hendak disampai kurang lancar.

"Justeru, memang tidak wajar untuk tuding jari pada bintang undangan saya kerana mereka berpengalaman dan ada kelebihan masing-masing.

"Apapun, yang pasti saya sentiasa berusaha melakukan persembahan yang baik pada setiap minggu. Cuma, saya tak dapat nafikan saingan sangat hebat," katanya

Issey yang juga penyampai radio Hot FM berkata kurang pengalaman bertanding lawak di pentas besar juga menjadi salah satu kekurangan dirinya.

"Bagaimanapun, selagi belum sampai ke minggu penyingkiran BBB saya takkan putus asa untuk mencuba. Saingan akan terus diberikan.

"Namun, pada penonton BBB saya mengharapkan doa yang baik-baik saja. Terima kasih semua," katanya.

Antara selebriti undangan Issey di pentas BBB ialah Sherry Al Hadad, Dzawin, Sabri Yunus dan Kak Girl.

Terdahulu, Issey menganggotai kumpulan lawak Titan bersama Ammar ketika menyertai pertandingan Bintang Mencari Bintang (BMB) pada 2013 di TV3.

Pernah mendapat bimbingan pelakon dan pengarah, Sabri Yunus dalam BMB, anak jati kelahiran Kelantan ini turut aktif sebagai pelakon.

Disiarkan pada: February 12, 2018 @ 9:44pm
d