rap

Mampu tarik peminat baru

Oleh Michelle Gun

Penerbit dan pelakon hebat Datuk Rosyam Nor berharap kemunculannya dalam filem biografi Lee Chong Wei dapat menarik peminat baru dalam kalangan penonton Cina.

Dalam biografi arahan Teng Bee Leng itu, Rosyam membawa watak sebagai bekas jaguh badminton negara, Datuk Misbun Sidek.

Pelakon berusia 51 tahun ini berkata, naskhah berkenaan bakal meninggalkan kesan dalam kerjaya seninya kerana akan disimpan dalam arkib negara.

“Semoga filem ini dapat menarik peminat Cina sebagaimana lakonan saya dalam filem Tamil, Kabali sebelum ini.

“Bukan itu saja, saya harap filem berkenaan dapat membawa penonton menyaksikan filem lain lakonan saya,” katanya.

Biografi berkisar perjalanan jaguh badminton dunia dan negara, Datuk Lee Chong Wei menjadi pemain badminton nombor satu negara turut menampilkan pelakon Tosh Chan, Ashley Hua, Agnes Lim Yeo Yan Yan dan Jake Eng.

Walaupun pengalaman selama 36 tahun dalam bidang lakonan, Rosyam memberitahu dia memberi peluang kepada pelakon baru untuk menonjolkan diri.

“Walaupun pelakon senior, saya bukan jenis yang kejam sampai tengelamkan watak pelakon lain.

“Apabila bergandingan dengan pelakon baru, saya akan meletakkan diri sebaris dengan mereka,” katanya.

Menurut Rosyam, menerusi cara itu memudahkan keserasian di antara pelakon untuk menghidupkan watak.

“Sudah banyak kali saya bergandingan dengan pendatang baru dan ada di antara mereka mempunyai bakat semula jadi dalam lakonan,” katanya.

Kaji perwatakan Misbun di Internet

Berkongsi pengalaman membawa watak Misbun, Rosyam mengakui terkilan tidak dapat bertemu dengan jurulatih itu.

“Pada asalnya, memang saya merancang berjumpa Misbun untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.

“Bagaimanapun, hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana beliau sibuk,” katanya.

Oleh sebab itu, Rosyam memberitahu mengambil pendekatan membuat kajian sendiri termasuk bertemu beberapa individu yang mengenali Misbun.

“Saya membesar dengan menyaksikan Misbun beraksi di gelangang badminton dan tiada masalah berlakon sebagai beliau.

“Cuma, saya perlu mencari maklumat tambahan di Internet serta menonton video untuk mengkaji cara beliau bekerja, percakapan dan perwatakan,” katanya.

Rosyam turut mendedahkan menambah sedikit tambahan pada wataknya bagi menjadik karakter Misbun lebih menarik.

“Saya berbesar hati diberi kepercayaan membawa watak individu penting yang bertanggungjawab mengembangkan sukan badminton negara.

“Diharapkan Misbun dapat menerima baik lakonan saya,” katanya.

Sementara itu, filem Lee Chong Wei berdurasi selama 133 minit akan ditayangkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 Mac ini.

Filem itu juga akan menemui penonton di pawagam mulai 15 Mac ini.

Tiket tayangan perdana filem Lee Chong Wei bermula pada harga RM88 hingga RM168 boleh dibeli di kaunter tiket Axiata Arena, Bukit Jalil atau menerusi laman web www.leechongweimovie.com.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 8:43am
d