rap

Hijjaz dengan rendah hati...

Oleh Norhayati Nordin

PRIHATIN terhadap penderitaan saudara Islam yang lain, kumpulan nasyid Hijjaz akan berangkat ke Bangladesh untuk misi bantuan kecemasan Rohingya pada 22 hingga 26 Februari ini.

Hijjaz dianggotai Isman Nadim Isam, Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim akan mengikuti misi dilakukan badan bukan kerajaan (NGO), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Isman berkata sumbangan amanah rakyat Malaysia akan disampaikan kepada saudara muslim Rohingya yang ditempatkan di kem-kem pelarian di Cox's Bazar Bangladesh.

"Daripada maklumat diterima, banyak barangan keperluan yang kurang dan masih belum dapat menampung jumlah pelarian Rohingya yang semakin ramai.

"Antara barangan utama diperlukan tetapi belum ada seperti khemah perlindungan, makanan asas termasuk bekalan air bersih untuk memasak, mandi dan berwuduk.

"Selain itu, bahan ubat-ubatan juga kurang terutama buat kegunaan pelarian yang sakit. Keadaan mereka agak daif," katanya.

Isman berkata berdasarkan maklumat diperolehnya juga, kira-kira 60 peratus daripada pelarian Rohingya di Bangladesh itu adalah kanak-kanak.

"Kebanyakan mereka (kanak-kanak) memasuki Bangladesh tanpa ibu bapa, terdedah penyakit, tiada makanan, tempat tinggal serta tidak tahu apakah nasib dan masa depan.

"Inilah ujian Allah SWT buat mereka tetapi sebagai saudara Islam wajar untuk kita membantu. Marilah melakukan kebaikan ini bersama-sama," katanya.

Ujar Isman lagi, dia mewakili Hijjaz dengan rendah hati merayu peminat, pengikut Instagram (IG), rakan, kenalan dan seluruh rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan.

"Sumbangan ikhlas anda akan membantu mereka menyambung nyawa dan meneruskan kehidupan walau dalam keadaan serba kekurangan.

"Dari hati yang paling dalam, diucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dihulur bagi membantu saudara Muslim Rohingya yang memerlukan itu.

"Doakan perjalanan kami, doakan Rohingya, doakan seluruh umat Islam terus diberikan pertolongan Allah untuk kekal dengan keimanan dan ketaqwaan walau apa juga rintangan dan tentangan yang hebat," katanya.

Segala sumbangan boleh dibuat melalui link: www.danarohingya.com

www.danarohingya.com atau menerusi akaun Rohingya Emergency Appeal - MAPIM (RHB BANK) iaitu 2142 5760 0213 72.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 1:01pm
d