rap

Macam macam orang cakap

Oleh Ramlah Zainal

HEROIN drama bersiri popular Kekasih Paksa Rela, Intan Najuwa kesal dengan dakwaan dirinya sudah besar kepala dan bermasalah sejak namanya naik mendadak dalam drama bersiri popular yang bersiaran di TV3 itu.

Menurut pelakon yang dikenali dengan watak Hanan Khaira dalam drama itu, tidak pernah terdetik di hatinya untuk menimbulkan masalah hingga menyusahkan banyak pihak terutama produksi.

"Kalau ada tawaran untuk berlakon, saya akan berbincang secara baik dengan pihak produksi dan bukan menolak sesuka hati.

"Saya tidak tamak untuk merebut semua projek lakonan yang ditawarkan ketika ini.

"Saya juga akan terima tawaran berlakon jika ada kelapangan kerana tidak mahu menyusahkan pihak lain.

"Jika terbabit dengan projek lakonan, saya akan fokus seratus peratus.

"Setakat ini, pihak produksi juga memahami keadaan saya," katanya.

Intan juga menafikan dakwaan dirinya juga sukar dihubungi pihak media.

"Setiap pesanan yang diterima dari pihak media yang diterima menerusi aplikasi WhatSapp saya akan jawab dengan baik.

"Jika ada kelapangan, saya juga akan hadir untuk majlis hiburan dan menjayakan sesi fotografi bersama pihak media.

"Saya juga akan beri alasan yang kukuh jika tidak dapat memberikan komitmen," katanya.

Diminta mengulas dakwaan dirinya kerap pulang ke kampung dengan alasan bapanya sakit, Intan turut menafikan sekerasnya.

"Saya seorang sangat mementingkan keluarga dan semua ahli keluarga juga berada di Johor Bahru.

"Selalunya, selepas penggambaran drama selesai, saya akan pulang ke kampung untuk bersama keluarga.

"Saya tidak akan sengaja beri alasan pulang ke kampung hingga menyusahkan banyak pihak sekali gus menjejaskan nama baik dalam bidang seni tanah air," katanya.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 5:54pm
d