rap

Merajuk tak relevan sekarang...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYAMPAI radio yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Nadia Hasnan menafikan merajuk dengan industri muzik tanah air dan hanya fokus kepada dunia penyampaian radio dan pengacaraan sahaja.

“Kalau beberapa tahun lalu selepas AF6, mungkin saya ada rasa merajuk, tapi kini selepas 10 tahun berada di dalam industri, tak relevan lagi untuk saya merajuk.

“Saya masih aktif dalam muzik walaupun undangan tidak sekencang dulu. Dalam sebulan, ada satu atau dua kali saya akan diundang untuk membuat persembahan di acara tertutup dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Nadia, 28, dia kini bergerak sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan dan belajar berdikari.

“Saya lebih berdikari dari segi mencari ‘job’ dan juga menjaga hubungan baik dengan semua orang. Alhamdulillah, banyak benda saya belajar.

“Saya anggap mungkin rezeki kurang menyerlah dalam bidang nyanyian namun ada rezeki dalam bidang penyampaian radio dan pengacaraan,” katanya.

Kini, di samping sibuk mengendalikan segmen hujung minggu di stesen Era, dia juga bergerak bersama band dianggotainya sejak berusia 16 tahun dikenali sebagai N The Boys.

Disiarkan pada: February 15, 2018 @ 8:06pm
d