rap

Bekas gitaris Sepultura kata 'bosan'

Oleh Blabbermouth/Susunan Esme Jo

ANDREAS Kisser sekali lagi menolak kemungkinan reunion barisan anggota klasik kumpulan thrash metal dari Brazil itu.

Dia yang juga bekas gitaris kumpulan terbabit mengatakan dia yakin dengan hala tuju kumpulan barunya sekarang.

Hubungan kuartet itu ‘retak’ pada 1996 selepas vokalis/gitar Max Cavalera keluar kumpulan disebabkan tindakan mereka memecat isterinya, Gloria sebagai pengurus kumpulan.

Adiknya, Igor Cavalera bersama Sepultura selama 10 tahun lagi selepas itu sebelum angkat kaki dan bergabung dengan Max membentuk Cavalera Conspiracy.

Kumpulan itu mengekalkan pangkalan peminat di merata merata tempat di seluruh dunia menerusi sejarah gemilang selama lebih 30 tahun dengan album Roots dan Chaos AD paling berjaya sepanjang tempoh itu.

Dua album itu setakat ini paling ‘top’ dari segi komersil dan populariti di peringkat antarabangsa.

Malah dua album terbabit meraih status emas (certified) di Amerika Syarikat kerana jualan melebihi 500,000 salinan.

Dalam temu ramah bersama The Metal Podcast, baru baru ini, Andreas mengakui dia sudah penat menjawab soalan mengenai era Max Cavalera dan era Sepultura: "Ia semakin basi. Sudah lama sejak 20 tahun lalu ketika meninggalkan kumpulan itu.

"Saya tahu ramai mengharapkan reunion Sepultura klasik. Ini kerana mereka melihat ramai anggota asal pernah membawa haluan lain seperti The Police, Anthrax dan Faith No More berjaya apabila kembali seperti itu," katanya.

"Bagaimanapun, itu tidak bermakna ia tidak penting buat kami. Setiap kumpulan ada sejarah dan ada motif mereka. Kami yakin dengan apa kami lakukan sekarang.

“Kami menghormati masa lalu, sejarah menarik terpahat di belakang kami tetapi saya perlu berpijak pada dunia nyata.

“Manusia membuat pilihan dan mesti menjalani hidup pilihan mereka dan ia sama seperti apa kami lakukan. Saya tidak berminat mengulangi apa yang tidak lagi berada di tempatnya sekarang."

Sepultura ditubuhkan pada 1984 berasal Belo Horizonte (Minas Gerais), Brazil dan merakam 14 album studio.

Era kejayaan mereka adalah sewaktu dianggotai Max Cavalera (vokal/gitar), Andreas Kisser (gitar), Paulo Pinto Jr (bass) dan Igor Cavalera (dram).

Andreas berkata pengaruh terbesar kumpulan itu adalah Slayer.

Disiarkan pada: February 16, 2018 @ 7:54pm
d