rap

'Kami paling sempoi'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Sejak mendirikan rumah tangga enam tahun lalu, pasangan artis popular Awal Ashaari dan Scha Alyahya berjaya membina jenama sendiri.

Menerusi gabungan nama Schawal, mereka terus kukuh berdiri malah ramai pasangan selebriti menjadikan pasangan ini sebagai inspirasi.

Pada masa sama, Awal dan Scha juga antara pasangan yang bijak meletakkan standard mereka agar sentiasa jadi eksklusif.

Namun begitu, menurut Awal, 36, tidak bermakna dia dan isterinya tidak boleh didekati atau menghadiri acara yang membabitkan orang ramai.

“Orang selalu anggap kami terlalu eksklusif tetapi kalau nak tahu, kami paling sempoi. Walaupun orang kata nama gah dan takut nak dekat, bagi saya perlu ada cara betul.

“Kalau setakat tengok tapi tak tegur dan cakap sombong, itu salah. Tidak salah bertegur sapa. Insya-Allah saya akan balas sapaan itu. Orang buat baik, kita harus balas baik. Tidak rugi pun,” katanya.

Sependapat dengan suaminya, Scha berkata eksklusiviti itu perlu diseimbangkan apatah lagi dirinya terbabit dalam dunia hiburan.

“Kita kena pandai seimbangkan. Kalau bercakap soal eksklusif, kena simpan sedikit. Pada masa sama, tidak terlalu eksklusif sehingga membuatkan orang lupa mengenai diri kita.

“Dalam perkara ini, kita perlu kekal relevan dan seimbangkan mana yang perlu dan tidak dalam dunia hiburan,” katanya.

Bukti Awal dan Scha mudah didekati apabila mereka terbabit dalam Gegaria Fest 2018 anjuran Kumpulan NSTP yang berlangsung di Angsana Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Ikut perancangan, sesi ramah mesra bersama Awal dan Scha berlangsung selama 20 minit namun disebabkan sambutan luar biasa pengunjung, sesi itu dilanjutkan sehingga satu jam.

Awal yang juga bekas pengacara program Melodi mengakui seronok terbabit dalam program sebegitu kerana berpeluang mendekati peminat yang selama ini mengikuti perkembangan mereka di laman sosial.

“Saya dan isteri okey terbabit dalam program sebegini, apatah lagi nak berjumpa orang ramai. Saya bermula dengan program yang memerlukan saya turun padang serta menemubual artis dan orang ramai. Sama macam kerja wartawan juga.

“Jadi, saya suka apabila berjumpa dengan peminat yang selama ini dapat tengok di Facebook dan Instagram saja. Apabila bertemu empat mata dan mereka menyatakan keseronokan berjumpa kami, ia buatkan saya terharu,” katanya.

Begitu juga dengan Scha, keseronokan lebih dirasai apabila dia dapat mendekati orang belakang tabir yang menjayakan sesebuah program.

“Sejujurnya saya seronok terbabit dalam aktiviti ramah mesra sebab sudah lama tidak turun padang berjumpa peminat. Jadi, apabila diberi peluang oleh NSTP, saya dapat balik

‘feel’ yang dahulu selalu buat. Ia mengembalikan memori awal kemunculan dalam industri.

“Bagi saya pula, apa yang lebih menyeronokkan adalah mengenali orang belakang tabir. Selain berjumpa peminat, tidak sabar nak jumpa rakan artis, wartawan dan kru.

“Saya sudah lama tidak bertemu mereka. Jadi, apabila dijemput ke acara sebegini, ia peluang yang tidak harus dilepaskan,” katanya.

Ternyata kehadiran Awal dan Scha di lokasi kedua Gegaria Fest ditunggu ramai. Seawal jam 8 pagi lagi peminat mereka sudah berkumpul di tapak karnival.

Malah, ada yang sanggup datang dari Singapura semata-mata untuk melihat dengan lebih dekat ibu bapa kepada si comel Lara Alana.

“Sambutan di Johor Bahru memang hebat. Apabila dimaklumkan lokasi di JB, kami tak risau. Saya tahu peminat di sana sangat ‘happening’ dan ‘sporting’. Bukan saja membabitkan acara besar, acara kecil pun mereka hadir memberikan sokongan.

“Ia turut dimeriahkan dengan kunjungan peminat dari Singapura yang datang seawal jam 8 pagi. Jadi kepada orang Kuantan, datang beramai-ramai pada 24 Februari ini di Perkarangan Stadium Darul Makmur,” kata Awal.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 4:02am
d