rap

Kenapa perlu kecam Badang?

Oleh Michelle Gun

FILEM adiwira komedi Badang menerima kecaman teruk daripada netizen yang kebanyakkannya mengutuk pelakon utama, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman selepas tiga hari ditayangkan di pawagam.

Pengarahnya Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen ketika dihubungi percaya komen negatif itu timbul disebabkan segelintir netizen kurang menggemari Aliff.

"Ramai yang mengutuk sebenarnya belum menonton filem itu, dan membuat komen berdasarkan andaian saja.

"Ada juga hanya disebabkan kurang suka perwatakan sebenar Aliff," katanya.

Menjawab kenyataan segelintir pihak yang mendakwa Badang tidak berkualiti, Razak menjelaskan sasaran penonton filem itu adalah kanak-kanak.

"Oleh itu, jalan cerita Badang tidak boleh berat dan perlu mengandungi elemen disukai kanak-kanak.

"Apabila menyaksikan filem itu, cuba letak diri (anda) sebagai kanak-kanak," katanya.

Razak turut menafikan Aliff melaburkan wang untuk menghasilkan filem terbitan FiTA Studios dan UiTM Holdings itu seperti didakwa pihak tertentu.

"Ada orang ingat Aliff bayar kami untuk buat filem itu. Sebaliknya, pihak kami yang membayar dia untuk berlakon," katanya.

Dalam pada itu, Razak menganggap pekara sedemikian cabaran yang dilalui setiap penggiat seni.

“Biasalah apabila menghasilkan filem bukan semua boleh terima dan pasti ada macam-macam perkara timbul," katanya.

Selain Aliff, turut membintangi filem Badang adalah Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Fareez Fauzi dan Azhari Zain.

Disiarkan pada: February 18, 2018 @ 6:13pm
d