rap

Syura keluar zon selesa

Oleh Norhayati Nordin

Selepas dua single dihasilkan kurang mendapat sambutan, penyanyi Syura Badron, 32, kini lebih berhati-hati.

Ibu tunggal tiga anak ini mengakui perlu teliti membuat pemilihan lagu dan enggan bersikap terburu-buru.

Syura atau nama sebenarnya, Zuraidah Badron berkata, kini dia bersama pasukan kerjanya giat mengatur perancangan.

“Hasrat muncul dengan single baru itu tetap ada tetapi saya masih dalam proses mencari lagu yang sesuai.

“Untuk kemunculan terbaru nanti, saya bercadang mahu cuba pertaruhkan lagu bergenre pop rock.

“Secara tidak langsung, ia keluar dari zon selesa saya yang sinonim dengan lagu berentak irama Malaysia dan tradisional.

“Saya berasakan sudah tiba masanya untuk berani mencuba genre muzik baru dan pop rock dilihat sesuai dengan vokal saya,” katanya.

Menurut Syura, dia memilih pop rock untuk single barunya nanti selepas melihat sokongan penonton di Gegar Vaganza 4 (GV4) lalu.

“Wujud keyakinan di hati saya untuk menyanyikan lagu pop rock sebaik melihat sokongan penonton di GV4. Memang saya sebenarnya tidak sangka vokal agak sesuai dengan genre muzik pop rock. Jadi, saya perlu berani mencuba,” katanya.

Dua single baru yang pernah Syura pertaruhkan ialah Aku Cinta ciptaan Ajai bersama Awi Rafael dan Gantung ciptaan Edry KRU.

Ditanya mengenai komposer pilihannya untuk bekerjasama, Syura memberitahu dia bercadang memilih penyanyi, guru muzik dan komposer muda iaitu Sissy Imann.

“Saya yakin bakat dimilikinya termasuk suka dengan lagu dinyanyikannya. Saya melihat Sissy mampu menghasilkan lagu yang bagus untuk single terbaru saya nanti,” katanya.

Menurut Syura, ada rencah tersendiri dalam karya sentuhan Sissy dan yang paling utama melodi dan liriknya ‘catchy’.

Bagaimanapun, Syura berkata, untuk kemunculannya selepas GV4 dia perlu merancang dengan betul.

Dia juga kini bergerak sendiri dan segala-galanya perlu diuruskan dengan teliti.

“Saya juga mempunyai pasukan kerja yang kecil seramai empat orang yang menjadi tulang belakang. Dalam kumpulan kecil itu, ada seorang pengurus, jurusolek dan penata gaya untuk fesyen yang sesuai buat saya,” katanya.

Syura berkata, selepas menyertai GV4, dia dapati perkembaangan industri muzik masa kini seiring dengan fesyen.

Oleh itu, katanya selain perlu bijak membuat pilihan karya lagu yang berkualiti, penampilan juga diambil kira.

“Atas sebab ini, saya sedaya upaya memastikan setiap pakaian digaya sesuai dan menyerlahkan personaliti,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2018 @ 12:28pm
d