rap

Jiwa kental Kim

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Andai sebut nama Nurul Hafiza Mohd Sakri, pasti tiada siapa mengenalinya. Namun jika disapa dengan nama komersial Kim Fukazawa, pelakon aksi wanita tunggal Malaysia era ini, mungkin ada yang mula buka mata.

Masakan tidak, gadis berusia 30 tahun ini memiliki pakej lengkap sebagai pelakon aksi lagak ngeri wanita yang tiada langsung istilah takut mahupun gementar.

“Tidak ramai produser atau pembikin filem tempatan menyedari kehadiran saya dalam industri. Mungkin sebab saya jarang turun ke sesi uji bakat yang diadakan mereka.

“Mereka (produser) hanya tahu selepas saya disarankan rakan sealiran dalam industri,” katanya tenang.

Biarpun belum dikenali sepenuhnya, Kim enggan mengalah. Dia akui sukar bersaing dengan pelakon lebih muda tetapi situasi itu tidak langsung mematahkan semangatnya.

Katanya, kerana bermula agak lewat dia terpaksa berusaha lebih untuk mendapatkan pengalaman dan pendedahan.

Antaranya, mengikuti pelbagai kursus berkaitan aksi lagak ngeri di luar negara seperti di Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).

“Di AS, saya mengikuti kursus lanjutan lagak aksi selama dua minggu tahun lalu. Saya peserta wanita tunggal dari Malaysia kerana belum ada pelakon kita pernah mengikutinya sebelum ini.

“Selama berada di sana, saya jalani latihan menggunakan teknologi terkini seperti penggunaan sistem hidraulik ketika beraksi, yakni sistem yang sering digunakan pada babak aksi besar filem terbitan Hollywood,” katanya.

Pada masa ini pula, adik pelakon aksi Pablo Amirul itu juga sedang mengikuti kursus terjunan udara di Indonesia.

Katanya, kursus itu dilakukan di sana kerana ia lebih murah selepas diperkenalkan seorang rakan di sana.

Selama mengikuti kursus itu, dia pernah berdepan situasi ambang maut apabila payung terjunnya ditolak angin kencang, sekali gus membuatkan ia tidak berada dalam keadaan stabil.

“Biarpun penerjun diberikan payung kecemasan, ia bukan semudah disangka. Saya kena berfikir dengan tenang tetapi cepat kerana jika tersilap langkah, payung kedua itu juga mungkin gagal dibuka.

“Saya perlu bertindak profesional dan mengingati setiap langkah wajib apabila berdepan situasi itu. Mujurlah ia berhasil, jika tidak mungkin saya sudah mati atau patah kaki,” katanya.

Pada masa ini, dia sudah pun melengkapkan 35 terjunan dan menyasarkan 100 terjunan menjelang Mei depan bagi memperoleh lesen A.

Sasar ke Indonesia, Thailand

Mengulas lanjut dunia lakonan, Kim mengakui dia belum diterima sepenuhnya kerana belum dikenali.

Namun, dia bersyukur kerana ada segelintir produser menawarkan watak untuk drama dan filem.

Terbaru, dia baru selesai penggambaran drama bersiri genre komedi aksi terbitan Darkwave Pictures berjudul KL Meroyan bersama Amy Mastura, Elly Suriati dan Sharifah Shahora.

“Saya juga dalam proses penggambaran sebuah filem pendek arahan pelajar filem di Johor Bahru. Sebelum ini, saya berlakon sebagai ‘stunt double’ aksi untuk Raja Ilya dalam filem KL Vampire.

“Saya juga jadi ‘stunt double’ untuk Raline Shah dalam sebuah filem aksi yang akan ditayangkan tidak lama lagi. Ada sebuah lagi filem berjudul The Spiral yang masih menanti tayangan,” katanya.

Mendengar susunan projek tempatan, pelakon yang pernah beraksi dalam filem Last Kopek Havoc dua tahun lalu itu mengakui menyimpan hasrat melebarkan sayap ke luar negara.

Antara sasaran pastinya Indonesia dan Thailand yang disifatkan mempunyai ruang luas untuk pelakon aksi sepertinya.

Bukan bermakna industri di Malaysia tiada peluang, cuma baginya ruang itu agak terhad buat masa ini.

Jauh dalam sudut hati, pelakon itu mahu menjadi seperti Datuk Michelle Yeoh yang berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Disiarkan pada: February 20, 2018 @ 2:48am
d