rap

Niat Lan Solo buat isteri

Oleh Norhayati Nordin

ATAS sebab komitmen kerja yang tidak boleh dibatal saat akhir, penyanyi Lan Solo terpaksa berkorban meninggalkan isteri, Nur Sheila Hassim, 33, yang menunggu hari untuk melahirkan anak keempat mereka.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, kini berada di Jakarta, Indonesia kerana terikat dengan jadual penggambaran satu program TV yang sudah dipersetujuinya.

Penyanyi yang akan muncul dengan single solo, Berpisah Tanpa Rela ciptaannya sendiri pada Mac ini terbang ke Indonesia sejak Ahad lalu dan dijangka kembali ke tanah air, malam esok.

Lan ketika dihubungi berkata dia sebenarnya mahu menunda tugasan itu tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana pihak produksi sudah menguruskan segala-galanya.

"Saya tahu keluarga lebih penting dan utama tetapi sebagai ketua keluarga mencari rezeki dalam karier seni ini, saya perlu bersikap profesional.

"Alhamdulillah, isteri memahaminya kerana saya pun baru hendak mengatur semula langkah menyanyi solo. Terus-terang, ia bukan sesuatu yang mudah.

"Namun, demi keluarga terutama bayi perempuan bakal dilahirkan nanti, saya kini hanya mampu banyakkan doa ke hadrat Allah SWT supaya diberi peluang dapat menyambutnya.

"Sebagai bapa, dalam hati ini tetap berharap dapat bersama dengan isteri untuk menyambut kelahiran bayi keempat kami dan memotong tali pusatnya seperti tiga anak yang lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Lan lagi, dia mengharapkan peminat juga mendoakan yang terbaik buat dia dan keluarga kerana sebagai manusia hanya mampu merancang dan ketentuannya adalah milik Allah SWT.

Sementara itu, Nur Sheila yang dihubungi berkata dia memang berdebar kerana menunggu hari dan berdoa suaminya akan berada di sisi.

"Sekarang, saya berehat saja di rumah dan jika sampai masanya akan ke hospital dengan ditemani keluarga.

"Apapun, segala persiapan untuk bayi kami sudah dibuat oleh Lan lebih awal seperti membayar bil hospital, sediakan barangan keperluan yang perlu dibawa, isi penuh minyak kereta dan tambah nilai kad Touch N Go.

"Cuma, yang kurangnya dia (Lan) tiada di sisi saya sekarang. Apapun, kini saya banyak berdoa supaya anak ini boleh tunggu dan dilahirkan apabila Lan balik nanti," katanya.

Ujar Nur Sheila lagi, ini dugaan buat mereka sekeluarga dan dia redha dengan apa saja ketentuan Ilahi. Katanya, semoga segala urusan dipermudahkan.

Meskipun tarikh kelahiran bayi mereka dijangka 10 Mac ini, tetapi Nur Sheila pernah dimasukkan ke hospital selepas pertandingan akhir Gegar Vaganza 4 (GV4), tahun lalu dan doktor mengesahkan dia mengalami kebocoran air ketuban kerana terlalu aktif bekerja menguruskan karier suaminya

Lan dan Sheila bernikah pada 5 Disember 2009. Mereka dikurniakan tiga anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 3:00pm
d