rap

Tak puashati lakonan sendiri

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON drama Papa Nak Menantu, Jaja Iliyes mengakui dia sendiri kurang berpuas hati dengan lakonannya menerusi rantaian itu yang kini sedang ditayangkan menerusi saluran TV 3.

Bagaimanapun, pemilik nama sebenar Siti Hajar Iliyes menjelaskan dia lega apabila menerima maklum balas positif dari penonton menerusi akaun Instagram miliknya.

“Alhamdulillah, orang boleh menerima lakonan saya. Saya lega kerana ramai yang memberikan komen positif. Ada juga yang kecam tetapi saya anggap itu sebagai lumrah. Tidak semua orang sukakan kita.

“Saya budak baru belajar, memang saya tidak berpuas hati dengan lakonan saya dalam drama Papa Nak Menantu. Apa pun, saya harap penonton maafkan kekurangan saya,” kata wanita berusia 23 tahun itu.

Tiga tahun bergelar pelakon, ini adalah kali pertama Jaja memegang watak utama dalam drama. Dia berterima kasih kepada Haji Zeel kerana memberikan kepercayaan kepadanya.

“Saya sangat berterima kasih kepada beliau kerana percaya dan memberikan peluang untuk memegang watak Syahirah.

“Peluang itu juga membuatkan saya dapat berganding dengan pelakon hebat seperti Aman Graseka, Hafidz Roshdi dan Sheila Mambo. Saya banyak menimba ilmu dari mereka,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2018 @ 7:19pm
d