rap

Isteri pemain bola

Oleh Georgie Joseph

Memasuki gerbang perkahwinan semestinya impian setiap orang apabila sudah bertemu pasangan yang sesuai.

Apa saja cabaran ditempuhi sepanjang perhubungan, ia adalah lumrah.

Pengacara Fiza Frizzy, 30, lega apabila akhirnya disatukan dengan jejaka pilihannya iaitu pemain bola sepak Kuantan FA, Fazli Zulkifli, 36, di Putrajaya, pada 18 Februari lalu.

Dengan sekali lafaz, pasangan ini sah bergelar suami isteri pada jam 12.30 tengah hari.

Mengakui berdebar dan gemuruh, pengacara CJ Wow Shop ini tidak dapat menggambarkan betapa bahagia dirasakan sebaik mereka disahkan suami isteri.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Saya menangis sebab tak percaya akhirnya bergelar isteri.

“Dua tahun juga kami bercinta jarak jauh dan saya akui memang banyak cabarannya. Namun, itu biasalah dugaan dalam percintaan,” katanya yang juga pengacara program Temasya Sukan Ke Laut bekas peserta program realiti Projek Metro.

Kini, Fiza teruja untuk menjalani kehidupan rumah tangga walaupun akan sentiasa berjauhan dengan Fazli.

“Dia pemain bola sepak dan kerap ada perlawanan di luar Kuala Lumpur. Jadi, kami jarang berjumpa dan doakanlah kebahagiaan kami,” katanya.

Berkongsi mengenai majlis berkenaan yang kurang dihebahkan, Fiza menafikan dia berahsia mengenai perkahwinannya itu sebaliknya mahu majlis yang ringkas saja.

Lagipun, keluarga kedua-dua pihak lebih selesa untuk mengadakan majlis yang santai.

“Saya tidak berahsia pun. Lagipun, saya bukanlah aritis yang mempunyai nama besar. Cuma saya memang mahu majlis yang ringkas dan jemput ahli keluarga, rakan serta kenalan terdekat saja.

“Perbelanjaan untuk majlis itu pun sekitar RM30,000 saja. Pada majlis resepsi pun memang sangat ringkas sekadar makan-makan dan ambil gambar. Pengacara pun tiada.

“Kami sepakat lebih baik gunakan duit untuk perancangan masa depan. Lagipun, saya memang rancang mahu timang cahaya mata secepat mungkin dan pasti perbelanjaan lebih banyak selepas itu,” katanya.

Majlis resepsi sebelah suaminya pula akan diadakan April nanti.

Bercerita mengenai perancangan berbulan madu, Fiza dan suami belum menetapkan destinasi tertentu.

Menurutnya, dia sendiri sudah kembali bekerja semula selain mahu memberi laluan kepada persiapan resepsi seterusnya itu kelak.

“Sebenarnya saya pun belum ambil cuti kahwin dan begitu juga suami. Sehari selepas majlis tempoh hari saya terus kembali bekerja.

“Suami saya pula kena kembali menjalani latihan maklumlah sekarang musim perlawanan bola sepak. Paling cepat pun hujung tahun nanti kami rancang melancong bersama,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 4:51am
d