rap

Aizat gigih kejar Impian

Oleh Ramlah Zainal

Pelakon filem Aku Tak Bodoh, Aizat Hassan mengakui dia tidak pernah berputus asa menempa nama dalam bidang yang diceburi.

Mula berlakon pada usia 16 tahun, Aizat tidak meletakkan populariti sebagai keutamaan sebaliknya mahu mengasah bakat yang ada dalam dirinya.

“Saya minat berlakon sejak kecil dan memilih bidang ini sebagai karier selepas menamatkan zaman persekolahan.

“Impian saya mahu dikenali sebagai pelakon berkaliber dan kerana itu banyak yang perlu dipelajari serta didalami,” katanya.

Terbaru, Aizat, 23, terbabit dengan penggambaran drama 30 episod, Makmum Yang Paling Aku Cinta untuk saluran HyppTV.

Menerusi drama arahan Ejump Mohd itu, Aizat melakonkan watak Syed Hakimi yang terperangkap di antara kehendak hatinya dan keinginnan bapanya.

“Saya sibuk menyelesaikan baki penggambaran drama ini sejak sebulan lalu.

“Saya terima tawaran ini kerana tertarik dengan watak Syed Hakimi yang ada kelainan.

“Anak tunggal ini serius orangnya tetapi berjiwa penyayang. Dia berdepan cabaran besar apabila hubungan cintanya tidak mendapat restu bapa,” katanya.

Sepanjang pembabitannya, Aizat sudah bawa pelbagai watak dan kini sudah sampai masanya dia mencuba karakter yang lebih mencabar.

“Kalau boleh saya mahu watak psiko. Tidak kisah untuk drama mahupun filem, itu yang saya damba kerana ia menuntut bermain dengan emosi.

“Selain itu, diharap ada tawaran filem baru tahun ini,” katanya.

Antara drama yang pernah dibintangi Aizat sebelum ini adalah Qalesya, Melarik Awan, Hantu Punya Bos, Ella Fitri dan Kisah Yang Hilang.

Ceburi bidang ­pengacaraan

Selain berlakon, Aizat turut berjinak-jinak dengan dunia pengacaraan.

Sebagai percubaan, dia yang bernaung di bawah pengurusan MIG mengacarakan sebuah saluran TV beli-belah sejak hujung tahun lalu.

“Ikutkan jiwa saya lebih kepada lakonan tetapi tak salah cuba perkara baru.

“Pada mulanya agak sukar untuk saya biasakan diri kerana tiada pengalaman. Nampak mudah bercakap depan kamera tetapi hakikatnya tidak.

“Namun, lama-kelamaan saya mula dapat rentak dan semakin seronok mengacara. Paling penting, saya belajar cara menarik perhatian penonton di kaca televisyen,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2018 @ 4:59am
d