rap

Lakonan bukan keutamaan

Oleh Ardini Sophia Sina

Aom Suchar tidak hanya terkenal di negara kelahirannya tetapi turut menempa populariti di peringkat Asia selepas membintangi filem Yes Or No empat tahun lalu.

Pelakon Thailand ini terus cemerlang dengan filem Namaste Ja-e Bye Bye dan drama adaptasi Korea Selatan berjudul Full House.

Tahun demi tahun, Aom terus melakar kejayaan dalam bidang lakonan.

Pemilik nama sebenar Sushar Manaying ini mengakui, ketika sedang mengikuti kelas lakonan di Bangkok, dia sama sekali tidak terfikir untuk terjun ke dunia seni lakon.

“Walaupun saya seronok mengikuti kelas lakonan tetapi ketika itu tidak terfikir pun untuk pergi ke mana-mana uji bakat dan bergelar pelakon.

“Di kampung halaman, saya hanyalah seorang wanita biasa yang tidak ada kaitan dengan dunia seni. Malah, saya juga tidak mengikuti perkembangan semasa tidak kira ia berkaitan drama atau filem terbaru mahupun mengenai artis popular.

“Pembabitan dalam dunia seni adalah tuah. Seorang pencari bakat berjumpa dengan saya dan mencadangkan supaya mencuba nasib dalam bidang peragaan,” katanya.

Mencintai dunia lakonan, Aom berkata, ia hanyalah sebahagian daripada hidupnya. Dia sama sekali tidak pernah meletakkan kerjayanya itu sebagai perkara paling utama.

Menjadi perhatian umum, Aom bekerja keras supaya penonton akan terus mengingati lakonannya dan tidak menjadikan isu peribadi sebagai bahan cerita.

“Saya hanya membawa sebahagian daripada diri saya masuk ke industri seni. Apabila menjadi perhatian, saya berusaha memberikan yang terbaik supaya penonton ingat bakat dan bukannya cerita sensasi.

“Ibu bapa adalah seluruh jiwa raga saya. Mereka adalah kehidupan saya yang sebenar serta sumber inspirasi. Setiap kali timbul perasaan ragu-ragu dalam membuat keputusan, mereka adalah rujukan pertama,” katanya.

Bagaimanapun, Aom pernah tersilap langkah. Dia menjadi bahan ketawa dan dikecam kerana penampilannya sebagai wanita gila dalam sebuah iklan komersial.

Klip daripada iklan berkenaan pantas tular. Ketika itu, Aom berasakan dirinya sangat rapuh. Dia banyak menangis kerana terguris dengan kritikan netizen.

“Saya akui, ia adalah kesilapan saya kerana menerima sesebuah tawaran tanpa memikirkan risiko. Ia menjadi pengajaran supaya saya tidak terlalu naif dan perlu menolak sekiranya tawaran itu bakal menjejaskan reputasi,” katanya.

Drama lakonan Aom berjudul Autumn In My Heart kini ditayangkan menerusi saluran Astro Bella (133) dan Astro HD (134) setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 2 petang.

Ia diadaptasi daripada drama popular Korea Selatan dengan judul yang sama.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 12:45am
d