rap

Elfira terima ketentuan [METROTV]

Oleh Najiy Jefri

SELEPAS hampir seminggu putus tunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi, pelakon Elfira Loy reda dengan ketentuan takdir dan akan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Elfira ditemui Harian Metro berkata, dia percaya pertunangan adalah proses mengenali hati budi kedua-dua belah pihak termasuk ahli keluarga.

“Apa sudah berlaku, biarlah berlalu. Saya reda dengan ketentuan ini.

“Bagi saya, pertunangan adalah proses mengenali bukan hanya antara saya dan Sufian tetapi termasuk ahli keluarga.

“Keputusan diambil untuk menenangkan hati semua pihak. Kami berdua sedia maklum andai ada yang tidak enak kami perlu ambil kira mencari penyelesaian,” katanya.

Menurut Elfira, jalan perpisahan antara dirinya dan Sufian adalah memori terbaik dan tidak pernah terbit rasa menyesal.

“Apa yang terjadi ini adalah memori terbaik dan tidak perlu saya kesalkan.

“Mengapa perlu menyesal andai sudah tertulis inilah rezeki dan kebahagian yang diaturkan Allah,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan netizen mengatakan ibunya menjadi punca perpisahan dan mengongkong hidupnya, Elfira berkata, punca perpisahan biarlah hanya keluarga kedua belah pihak saja yang tahu.

“Masyarakat tidak tahu kecuali keluarga. Jadi, jangan membuat spekulasi punca perpisahan ini.

“Saya harap orang luar tidak masuk campur. Biarlah rahsia itu hanya diketahui kedua belah keluarga,” katanya mengakui hubungan dengan Sufian masih baik.

Elfira dan Sufian bertunang 6 Oktober lalu. Mereka sepatutnya berkahwin bulan depan.

Bagaimanapun ikatan pertunangan terlerai Ahad lalu apabila keluarga Elfira sepakat untuk memulangkan cincin kepada keluarga Sufian di Johor.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 8:17pm
d