rap

Niat berkongsi kebahagiaan sekeluarga [METROTV]

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Hafiz Suip, 28, mengakui dia dan isteri, Nureffy Jesreel Abdullah atau Effy, 26, mewujudkan akaun Instagram (IG) buat anak mereka, Muhammad Riyadh Zafri, bukan untuk mengejar popular atau mengumpul jumlah pengikut yang ramai.

Tujuan utama akuan IG itu kami buka untuk berkongsi saat indah seisi keluarga termasuk perkembangan Muhammad Riyadh membesar.

"Saya hanya mahu berkongsi saat indah kami sekeluarga bersama mereka yang menjadi pengikut IG, @riyadhzafri. Itu saja.

"Terus-terang, saya tidak terfikir langsung untuk mendedahkan anak kepada dunia glamor. Niat saya, hanya mahu berkongsi sedikit kebahagiaan kami sekeluarga," katanya.

Sejak akaun IG itu dibuka pada 31 Disember 2017, hingga kini sudah sudah mencatat 10 ribu pengikut.

Hafiz dan isteri mengadakan majlis cukur jambul bayi mereka, Muhammad Riyadh Zafri yang kini berusia dua bulan di hotel terkemuka di Subang Jaya.

Mengulas mengenai tawaran untuk program TV buat anaknya, penyanyi yang popular dengan lagu Awan Nano itu berkata semua masih dalam pertimbangan.

"Saya takkan buat keputusan terburu-buru untuk menerima tawaran yang datang. Saya dan isteri lebih selesa berbincang dengan keluarga dahulu.

"Kami akan ambil kira pandangan ibu bapa, mentua dan paling penting keselesaan anak yang masih kecil," katanya.

Muhammad Riyadh Zafri dilahirkan pada 30 Disember 2017 hasil perkongsian hidup Hafiz dan Effy yang bernikah pada 14 Mei 2016.

Selain itu, Hafiz juga baru-baru ini melancarkan single Hari Ini Dalam Sejarah yang istimewa sempena kelahiran bayi lelakinya itu.

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 8:46pm
d