rap

Memang best kata penonton!

Oleh Najiy Jefri

LEBIH 5,000 penonton tidak melepaskan peluang menyaksikan Konsert GegaRia berlangsung di perkarangan Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam ini.

Pada acara kemuncak di lokasi terakhir GegaRia Fest anjuran Media Prima Berhad itu, mereka dihiburkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti DeFam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Kugiran Masdo dan Bunkface.

Hujan renyai tidak merencatkan keceriaan pengunjung sebaliknya mereka tetap bersemangat menunggu artis pujaan masing-masing membuat persembahan.

Lebih mengujakan pengunjung turut mengikut rentak irama kumpulan penghibur kegemaran mereka beraksi di pentas menjadikan konsert terbabit gamat dengan telatah dan sorakan mereka.

Menurut vokalis Masdo, Ali Sariah, dia teruja dengan sambutan luar biasa pengunjung di semua lokasi.

“Terima kasih GegaRia Fest kerana menganjurkan ‘kenduri’ di Kuantan.

“Penganjuran itu berjaya menyatukan kita semua. Saya harap konsert ini dapat diteruskan pada masa depan dan menjadi acara tahunan.

“Ada rezeki jemput kami lagi GegaRia Fest,” katanya yang menyanyikan lima buah lagu pada konsert itu.

Dihoskan Muaz dan Haiza KoolFM, GegaRia kali ini turut dimeriahkan artis popular lain termasuklah Awal Ashaari, Scha AlYahya, Wany Hasrita, Elfira Loy dan Faiz Dickie yang membuat penampilan pada sebelah siang.

Selain konsert, acara GegaRia Fest juga menyajikan pelbagai aktiviti menarik di beberapa zon iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan GegaRia.

GegaRia Fest sebelum ini diadakan di Setia Alam, Selangor diikuti perkarangan Johor Bahru Mall, Johor sebelum menutup tirai di sini (Kuantan).

Disiarkan pada: February 24, 2018 @ 11:57pm
d