rap

Ilyka tak rasa tergugat

Oleh Norhayati Nordin

Biarpun makin ramai bintang baru muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, ia sama sekali tidak membuatkan penyanyi Datin Ilyka Yassin, 45, berasa tergugat.

Ini kerana pembabitan Ilyka bukan untuk bersaing sebaliknya meneruskan minat mendalam beliau sebagai penyanyi.

Pernah mencipta nama pada awal era 90-an, Ilyka suatu ketika dulu sangat popular dengan lagu Di Usung Duka.

Mengakui kemunculannya hanya untuk memeriahkan industri, tahun lalu Ilyka tampil dengan dua single iaitu Persembahan Cinta dan Sempurnakan Takdirku.

Namun begitu, untuk 2018 ini Ilyka kembali mempertaruhkan single baru berjudul My Love ciptaan penyanyi dan komposer Hazami.

Tanpa berselindung, wanita anggun dan bergaya itu memaklumkan My Love amat istimewa.

Ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, ibu seorang anak itu juga mengakui karya Hazami begitu bermakna.

“Saya sudah lama berhasrat bekerjasama dengan Hazami kerana mengagumi lagu ciptaannya.

“Namun, saya diuji untuk bersabar kerana sentiasa tidak berpeluang. Ketika itu, mungkin belum rezeki lagi,” katanya.

Menurut Ilyka, perancangan Yang Maha Esa itu sangat cantik dan beliau sentiasa berpegang pada keyakinan yang tersemat di hati.

Berbicara mengenai perjalanan karier nyanyiannya selama ini, Ilyka berkata, dia tidak pernah berhenti menyanyi.

“Saya tidak pernah menyepi. Kalau nak tahu saya masih aktif menyanyi seperti dahulu.

“Cuma, kebanyakan persembahan saya lebih menjurus pada acara tertutup dam makan malam korporat.

“Selain itu, saya juga kurang muncul di media jika tiada sebarang perkembangan baru untuk dikongsi bersama peminat,“ katanya.

Pemilik nama sebenar, Zuraila Mohd Yassin ini berkata, minatnya pada karier seni sentiasa mekar di hati hingga kini.

“Namun, keutamaan saya tetap kepada keluarga. Masa bersama suami, Datuk Ahmad Azizi Ali dan anak, Arisya, 15, paling penting.

“Jadi, saya akan selalu pastikan ada masa bersama keluarga. Itu lebih membuat saya berasa sangat selesa,” katanya.

Mengulas mengenai harapannya terhadap single My Love, Ilyka berkata, semoga ia diterima baik pendengar muzik tempatan.

“Single ini sebenarnya saya tujukan kepada insan yang tersayang dan penting dalam hidup ini. Mereka sudah tentu ahli keluarga saya.

“Dari dulu, tidak pernah jemu memberi sokongan kepada saya termasuk suami yang sentiasa memberi restu dan galakan.

“Bagi saya, kehidupan yang dilalui kini sudah lengkap dan satu rahmat yang perlu disyukuri selalu,” katanya.

Menurut Ilyka, suami dan anak menjadi pemangkin semangat dan tulang belakangnya untuk meneruskan karier seni.

Ditanya mengenai pembabitan anaknya, Ilyka berkata, dia melihat Arisya lebih cenderung bermain piano.

Bagaimanapun, katanya, dia sentiasa bersikap terbuka dan menyokong apa sahaja minat Arisya kerana yakin itulah pendekatan terbaik sebagai ibu bapa.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 12:27pm
d