rap

Fattah, Fazura duta kad debit

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Populariti yang dikecapi pasangan pelakon Fattah Amin dan Fazura membuatkan mereka dilantik sebagai duta jenama rasmi kad debit Maybank terutama bagi menggalakkan golongan muda melakukan transaksi tanpa tunai.

Ia bertepatan dengan matlamat Malayan Banking Bhd (Maybank) yang mahu menambah golongan muda atau Gen-Y memiliki kad debit keluaran mereka.

Ketua Bahagian Kad, Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Kumpulan Maybank B Ravintharan berkata, mereka menjalin kerjasama selama setahun dengan pasangan ini dengan matlamat meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan orang muda yang semakin berkurangan sekarang.

“Kami mahu berhabis-habisan mempromosikan penggunaan kad debit dalam kalangan mereka yang berusia antara 21 hingga 40 tahun.

“Pada 2017, kami menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah transaksi kad debit sebanyak 57 peratus dengan mencatatkan lebih 65 juta transaksi bernilai lebih RM17 bilion tahun ini berbanding tahun lalu iaitu RM11 bilion.

“Sebanyak 62 peratus bil debit kami datang daripada segmen profesional muda. Produk kad debit kami sudah berkembang menjadi lapan variasi produk yang berbeza dengan lebih sembilan juta pemegang kad debit yang aktif,” katanya pada majlis pelantikan rasmi duta kad debit Maybank di Menara Maybank, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Pada majlis sama, Maybank melancarkan kempen penggunaan kad debit selama tiga bulan sehingga 15 Mei depan menawarkan pakej percutian bersama pasangan yang lebih mesra dengan panggilan FattZura ini kepada lima pasangan bertuah.

“Maybank yakin pasangan artis popular ini akan dapat membantu untuk lebih menggalakkan golongan Gen-Y menggunakan kad debit di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Fazura berkata, perbincangan untuk mereka terbabit sebagai duta jenama rasmi kad debit Maybank dibuat penghujung tahun lalu.

“Kami bersetuju menerimanya apabila melihat kesan positif pada masyarakat. Ia memudahkan pengguna membuat pembelian tanpa pengeluaran wang tunai yang banyak dan lebih selamat.

“Saya menggalakkan golongan muda menggunakan kad debit Maybank kerana lebih mudah untuk membuat transaksi atau pembelian,” katanya.

Menurut Fattah pula, ini pembabitan pertama mereka bersama dalam program rasmi pada 2018.

“Setakat ini tiada tawaran lain termasuk untuk berlakon bersama. Kami tidak mahu terlalu kerap buat program bersama kerana bimbang peminat akan bosan.

“Mungkin kami akan selektif kerana Fazura ada projek dan produk sendiri, manakala saya juga ada perniagaan jenama sendiri yang perlu diutamakan,” katanya.

Turut hadir pada majlis ini ialah Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia Datuk Hamirullah Boorhan dan Ketua Kad Maybank Malaysia dan Singapura Karen Low.

Disiarkan pada: February 26, 2018 @ 12:56pm
d