rap

'Dia memang berbakat'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Siapa tidak mengenali figura bernama Noraniza Idris.

Sehingga hari ini, dia tidak pernah lelah untuk memperjuangkan genre muzik irama Malaysia dan etnik kreatif.

Baginya, genre itu bukan sekadar satu elemen muzik semata-mata, tetapi juga sebahagian daripada budaya bangsa Malaysia.

Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani, baru-baru ini meluahkan rasa bangganya dengan penyanyi muda, Ernie Zakri yang disifatkan berbakat besar dalam mengalunkan lagu irama Malaysia.

“Saya ada ternampak di Instagram dia berkongsi video menyanyikan lagu Hala Timur yang saya pernah nyanyikan satu ketika dulu. Memang Ernie dianugerahkan bakat besar sebagai penyanyi,” katanya.

Menurut ratu irama Malaysia ini, antara impiannya adalah untuk melihat penyanyi yang baru-baru ini memenangi Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) bersama Syamel itu muncul dengan single irama Malaysia.

“Dia memang berbakat besar dan bagi saja apa genre sekali pun, saya yakin Ernie mampu membawakannya dengan baik.

“Rugi jika Ernie tidak muncul dengan sekurang-kurangnya satu single irama Malaysia. Lenggok dan nada untuk lagu irama Malaysia bukan semua orang boleh buat dan Ernie berjaya,” katanya.

Noraniza juga ketika zaman kemuncaknya sentiasa mencuri perhatian menerusi persembahannya apabila kerap kali membawa ‘sekampung’ penari di atas pentas.

“Mestilah ada rasa rindu untuk membuat persembahan begitu, namun kini masa untuk generasi baru pula beraksi.

“Saya dapat melihat mereka memberikan persembahan yang sangat baik,” katanya.

Terbaru, Noraniza kini mengasaskan persatuan dikenali sebagai Malay World Culture Paradise yang menggerakkan kempen untuk menghidupkan semula muzik irama Malaysia.

“Kami bertapak di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Setiap minggu, seramai 98 artis budaya akan mengadakan latihan di DBP dan akan melakukan pelbagai aktiviti,” katanya.

Selain itu, Noraniza juga sedang mempromosikan semula singlenya bersama L’zee yang sebelum ini pernah dikeluarkan.

“Single berjudul #MohonTerasa itu kami sudah keluarkan beberapa tahun lalu. Namun, ketika itu ada beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Kini, kami sekali lagi mempromosikan single itu, sekali gus akan cuba sedaya upaya menjadikannya lagu yang mampu berada sebaris dengan lagu popular lain,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 5:35am
d