rap

Sportinglah dua sifu 'superstar' ni...

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ARTIS serba boleh, Datuk Afdlin Shauki menyertai kelas vokal di Bali bersama guru vokal yang pernah mengajar beberapa bintang terkenal seperti mendiang Michael Jackson, mendiang Whitney Houston dan Stevie Wonder sebagai persediaan untuk album barunya.

“Saya sertai Vocal Masterclass itu, baru baru ini sebagai persediaan untuk album saya yang akan dilancarkan tahun ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Afdlin, penyertaan dalam kelas intensif selama lima hari bermula 22 Januari lalu adalah atas jemputan pasangan guru vokal itu sendiri, Seth dan Margarita Riggs dan juga rakannya, Datuk Sheila Majid.

“Tidak semua berpeluang menghadiri kelas vokal intensif itu bersama pasangan Riggs. Terima kasih kepada Sheila menjemput saya dan membuka peluang itu.

“Selain saya dan Sheila, ada beberapa penyanyi lain terbabit iaitu Anuar Zain serta dua penyanyi Indonesia, Marcell Siahaan dan Andin,” katanya.

Tambah Afdlin, walaupun tempohnya singkat dengan jadual padat tetapi banyak ilmu baru dapat dipelajari dan diterokai.

“Selama lima hari, jadual kami padat dengan kelas dan sebagainya. Bukan sahaja mengenai vokal semata-mata, kami juga diajar bagaimana bermain dengan emosi dalam lagu,” katanya.

Bercerita mengenai album, Afdlin akan bekerjasama dengan penerbit dari Indonesia, Ari Rinaldo yang pernah menerbitkan album penyanyi negara itu, Tulus.

Disiarkan pada: February 27, 2018 @ 5:05pm
d