rap

'Saman atau selesai di luar' [METROTV]

Oleh Michelle Gun

PELAKON Datuk Farid Kamil mempertimbangkan untuk menyaman produksi sebuah drama atas dakwaan menyebabkan kakinya penuh dengan luka kecil sewaktu penggambaran.

Farid, 37, turut mendakwa produksi terbabit gagal menyediakan alat keselamatan sewaktu menjalani penggambaran babak aksi.

Peguam Farid, Faizul Mohd Nasir berkata, pelakon itu tidak dapat memakai seluar panjang selama 10 hari disebabkan luka itu.

"Pihak kami sudah menerima maklum balas dari produksi. Kalau produksi mahu selesai isu ini di luar pun boleh," katanya pada sidang media, hari ini.

Faizul berkata, sebagai pelakon, paras rupa dan anggota badan adalah aset penting untuk Farid mencari rezeki.

"Pun begitu, Farid tetap melaksanakan tanggungjawabnya untuk drama itu dengan baik," katanya.

Harian Metro difahamkan drama didakwa pelakon dan pengarah itu kini ditayangkan di sebuah stesen televisyen satelit.

Sementara itu, Farid memberitahu belum menerima surat rasmi daripada pihak istana Pahang untuk menarik balik darjah kebesaran dan pingat diterimanya Disember lalu.

"Saya memanjatkan rasa syukur terhadap anugerah diberikan. Saya juga syukur, isteri dan keluarga tidak henti memberi sokongan sepanjang dugaan dihadapi," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2018 @ 8:39pm
d