rap

'Tindakan terpuji' kata Mufti

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyambut baik permohonan maaf yang dibuat oleh pelakon dan pengacara Neelofa Mohd Noor, 29, semalam berhubung keterlanjurannya melancarkan koleksi tudung Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Perkara itu dijelaskan menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Penyelidikan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Tarmizi Mahmud.

"Alhamdulillah, saya melihat kenyataan akhbar ini suatu tindakan terpuji yang dibuat oleh NH apabila membuat permohonan maaf terhadap kesilapan telah mereka lakukan. Perkara ini bertepatan dgn hadis yang bermaksud:

"Setiap anak Adam tidak terlepas daripada kesalahan, namun sebaik-baik pesalah adalah mereka yang bertaubat".

"Dalam melayari dunia perniagaan maka aspek keberkatan perlu diutamakn selain daripada keuntungan semata-mata.

"Justeru, pelancaran tudung baru-baru ini hendaklah tidak disertai elemen yang secara kuat boleh mengundang fitnah.

"Namun sewajarnya ia disulami dengan elemen tarbiyyah kepada masyarakat agar bertudung mengikut syariat bukan hanya fesyen semata-mata.

"Bagi memacu penambahbaikan industri tudung di Malaysia, dicadangkan agar mereka melantik "Penasihat Syariah" yang bertanggungjawab dalam menilai setiap produk yang dihasilkan agar ianya bukan sahaja mengikut peredaran semasa malah turut menitikberatkan prinsip-prinsip syarak.

"Kewujudan penasihat seumpama ini dapat mengelakkan kejadian seperti itu berulang seterusnya terus mengekalkan kepercayaan netizen terhadap produk berperanan dalam melengkapkan kesempurnaan ibadah seseorang wanita.

"Oleh itu, dinasihatkan agar mana-mana syarikat yang mempromosikan produk yang mempunyai elemen Islami agar lebih berhati-hati dalam setiap tindakan agar ia tidak memercikkan unsur negatif kepada agama Islam,".

Berita berkaitan:

Pengajaran bermakna, saya minta maaf...

Surat terbuka Mufti WP buat Neelofa

Disiarkan pada: March 1, 2018 @ 9:47pm
d