rap

'Saya doakan terbaik untuknya'

Oleh Najiy Jefri

"SAYA tidak tahu apa-apa," kata isteri pertama pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude, Intan Liana Saleh mengenai suaminya dikatakan berubah angkara buatan orang.

Katanya, dia tidak tahu-menahu mengenai perkara itu, sebaliknya hanya mengetahui hal itu menjadi bahan perbualan dalam kalangan netizen.

"Saya tidak mahu komen. Saya sudah dinasihatkan untuk tidak memberi sebarang kenyataan sehingga kes ini selesai.

"Tunggu keputusan mahkamah pada 22 Mac depan bagi sebutan semula kes berkenaan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai luahan perasaan yang dimuat naik menerusi Instagram Story semalam sempena ulang tahun kelima perkahwinannya, Intan menegaskan kenyataan terbabit adalah gambaran perasaan sebenarnya ketika ini.

Dalam luahannya Intan, 33, berkata meskipun riak wajahnya nampak tenang namun jauh daripada lubuk hati dia tidak mampu menggambarkan perasaan itu.

"Sedih itu datang daripada hati bukan muka. Luaran nampak happy tapi dalam hati hanya Tuhan sahaja yang tahu.

"Jika Allah tidak mengizinkan kita bersatu dengan orang yang kita cinta, semoga Allah satukan kita dengan orang yang mencintai kita.

"Aku pernah sayang orang sepenuh hati, sampai aku rasa hati aku mati kehilangan dia," tulisnya di laman InstaStory, semalam.

Walaupun hatinya terluka, Intan masih mendoakan terbaik untuk suaminya.

"Saya doa yang terbaik untuknya pada masa mendatang. Saya bukan wanita terbaik untuk Ude dan dia sudah jumpa yang lebih baik untuk dirinya," katanya.

Kelmarin, Ude dan Intan hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi urusan lafaz cerai selepas pemuzik memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan pada 30 November 2017.

Hasil perkahwinan dengan Ude, mereka dikurniakan dua cahaya mata Aris Muqri, 4, dan Ariq Muqri, 1.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 6:59pm
d