rap

'Last minute' tapi ingat sampai bila bila

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYAMPAI Era dan pengacara, Hani Fadzil, 27, berkongsi rasa gembiranya apabila berpeluang menimba pengalaman baru sebagai pengacara program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang berlangsung Rabu lalu.

“Satu pengalaman baru buat saya. Walaupun dihubungi pada saat-saat akhir pada petang kelmarin dan perlu hadir untuk mengacarakan acara itu secara langsung pada jam 9 malam, saya berpuas hati,” katanya kepada Harian Metro.

Hani atau nama sebenarnya Intan Farahani Mohd Fadzil menganggap itu sebagai rezeki buatnya dalam mengembangkan kerjaya pengacaraannya.

“Saya anggap ini sebagai rezeki buat saya dan terima kasih kepada penganjur TN50 yang memberi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan acara besar itu,” katanya.

Hani juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberikan kata-kata semangat serta komen positif kepada hasil kerjanya.

“Sejujurnya, saya sendiri pun tak sempat nak rakam video atau ambil gambar. Tapi, sehari selepas acara itu berlangsung, saya tonton semula acara itu menerusi rakaman yang dikongsikan di Facebook.

“Rata-rata, ramai memberikan komen dan reaksi positif. Insya-Allah, mungkin akan ada rezeki seperti ini lagi buat saya. Pengalaman ini saya akan ingat sampai bila-bila,” katanya.

Hani juga berbangga dengan pencapaiannya memandangkan program itu ditayangkan secara langsung secara online dan disiarkan di beberapa saluran TV nasional.

Nama Hani dipilih selepas pengacara asal program itu, Neelofa menarik diri daripada menjadi pengacara TN50.

Disiarkan pada: March 2, 2018 @ 7:04pm
d