rap

Nabil arah filem pula

Oleh Michelle Gun

Hampir sedekad menceburi dunia seni, Nabil Ahmad yang menempa nama menerusi program komedi Raja Lawak musim kedua kini melebarkan sayap dalam dunia produksi.

Pelawak dan pengacara terkenal itu sudah menerbitkan beberapa program TV dan sebuah supertelefilem menerusi syarikat produksinya, Nabil Ahmad Production.

Selesai pembikinan supertelefilem The Hantus, Nabil bakal mengarah dan menerbitkan filem sulungnya berjudul Qutil.

Menariknya, pembikinan filem seram itu akan membabitkan produksi Indonesia dan penggambaran dijangka bermula selepas Aidilfitri ini.

Nabil, 34, memberitahu dia kini mahu memberi lebih tumpuan terhadap bidang pengarahan.

“Banyak yang saya pelajari sejak menceburi dunia produksi dan mendapati kerja di belakang tabir sebenarnya seronok.

“Saya selalu bergaul dengan pengarah dan banyak mempelajari selok-belok bidang ini daripada mereka,” katanya.

Pengacara program Meletop itu berkata dia mahu meneroka bidang baru demi jaminan masa depan.

“Dengan adanya produksi sendiri, saya boleh menerbit program hiburan, filem dan teater. Selain mengacara, saya perlu mencari pendapatan lain,” katanya.

Membuktikan kesungguhannya dalam menghasilkan karya berkualiti, Nabil berkata dia akan mengupah tenaga profesional bagi menghasilkan papan cerita filem Qutil.

“Apabila ada papan cerita, kerja produksi menjadi teratur dan menjimatkan masa,” katanya.

Bukan sahaja mengarah, pelawak itu turut menulis jalan cerita Qutil.

Menurutnya, filem itu masih di tahap perbincangan dan belum ada senarai pelakon.

Belanja besar sewa tapak pesta

Selain Qutil, supertelefilem The Hantus yang mengetengahkan genre seram komedi juga bakal menemui penonton Astro First pada Jun ini.

Demi menghasilkan supertelefilem itu, Nabil sanggup berhabis puluhan ribu ringgit menyewa tapak pesta dan membayar upah 120 pelakon tambahan.

“Saya tidak kisah mengeluarkan bajet besar kerana mahu menampilkan kelainan, kreativiti dan hasil berkualiti. Sebagai permulaan, saya kena pejam mata untuk bajet.

“Bayaran sewa tapak pesta di Rawang selama tiga hari bukan murah dan penggambaran turut membabitkan dua bas dan kereta,” katanya.

Menurutnya, idea menghasilkan The Hantus datang ketika menonton video kejadian mistik di sebuah balai polis di YouTube.

“Berbeza dengan cerita seram lain, supertelefilem ini mengisahkan aktiviti makhluk ghaib di alam mereka. Saya cuma mahu mengetengahkan karya segar dan tidak klise,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nabil akan mengacara program realiti Ceria Megastar yang akan bersiaran mulai 2 Mac, jam 9 malam di Astro Ceria.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 4:12am
d