rap

Tak sabar bergelar bapa

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Bakal bergelar bapa buat kali pertama sebulan sahaja lagi, Dazrin Kamarudin, 29, akui gelisah kerana sedia maklum ia bukan tugas mudah.

Terutamanya membesarkan cahaya mata untuk menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.

“Sebab itulah kami perlu buat persediaan sebaik mungkin. Ia bukan sekadar persiapan biasa-biasa sebab itu tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah,” katanya.

Ketika ditemui pada majlis ‘baby shower’ baru-baru ini, pelakon drama Adam & Hawa itu serta isterinya, Nur Fazulin Razalin mengumumkan bakal dikurniakan bayi lelaki pada April ini.

Dazrin berkata, isterinya tidak mengalami alahan atau mengidam seperti yang biasa dilalui kebanyakan ibu mengandung lain.

Malahan, isterinya juga tidak mengalami sebarang kesulitan ketika melakukan aktiviti harian sama ada di luar atau dalam rumah.

Menariknya, mereka mengetahui bakal dikurniakan zuriat apabila kandungan mencecah usia empat bulan.

“Sebelum tahu isteri hamil, kami buat pelbagai sukan seperti bermain badminton, main ‘roller coaster’ dan masuk hutan.

“Walaupun berlaku sedikit pendarahan, kami ingat ia sekadar proses haid biasa tetapi rupa-rupanya plasenta tidak kuat,” katanya.

Namun begitu, kejadian kedua dialami lebih mengejutkan ketika masuk hutan di Jeli, Kelantan kerana Dazrin ada penggambaran selama sebulan.

Menurut Dazrin, dia sesat selama enam jam di dalam hutan dan bertemu seorang penduduk kampung yang kebetulan berada di laluan mereka.

Selepas memberitahu mereka tidak jumpa jalan keluar, penduduk kampung mendakwa perkara itu selalunya terjadi jika isteri ada ‘membawa’ atau ‘berisi’.

“Sebaik saja dapat keluar hutan kira-kira jam 6 pagi, kami terus balik bilik hotel.

“Sebelum saya keluar semula ke set penggambaran, saya belikan kit ujian kehamilan untuk isteri di farmasi berhampiran.

“Apabila pulang semula ke bilik, isteri menunjukkan kit itu dan keputusan memang mengejutkan kerana ia sangat jelas!” katanya.

Kemudian, mereka bertemu doktor untuk menjalani pemeriksaan dan isterinya disahkan hamil empat bulan.

“Isteri saya sangat kuat. Dia selalu ikut saya berniaga dan aktif bergerak ke sana sini.

“Walaupun banyak berjalan, kakinya tak bengkak, cuma sesekali mengadu sakit belakang. Pendek kata, memang senang jaga dia,” katanya.

Berlakon seperti biasa

Tidak seperti pelakon lain yang akan berehat untuk menjaga anak yang baru lahir, Dazrin pula sebaliknya.

Katanya, kebetulan ibu bapanya yang tinggal di Melaka sudah menetap di Putrajaya.

“Ibu bapa saya meminta isteri berpantang di rumah mereka selepas bersalin nanti. Malah, kalau saya perlu ke lokasi penggambaran, mereka bersedia menjaga anak dan isteri saya.

“Kiranya, saya tidak perlu berehat seperti pelakon lain yang mungkin berdepan isu tiada siapa mahu jaga anak dan isteri apabila keluar bekerja,” katanya.

Rezeki Dazrin juga semakin murah apabila bisnes yang diusahakan semakin maju. Dia juga bakal berkhidmat sebagai penceramah motivasi untuk lepasan sekolah dan universiti bermula Mac ini.

Katanya, dia baru saja dilantik Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kelantan sebagai penceramah untuk memberikan kata-kata semangat kepada remaja lepasan sekolah dan universiti yang berminat menceburi dunia keusahawanan.

Kerjaya ini bukan asing baginya kerana sebelum ini pernah menjadi penceramah bebas selepas pulang dari Amerika Syarikat (AS) pada 2011.

Waktu itu, dia memberi ceramah mengenai pilihan kerjaya untuk lepasan kolej dan universiti.

“Tujuannya untuk beritahu selebriti juga ada ilmu dan boleh bantu pelajar untuk pilih laluan kerjaya sesuai dengan mereka.

“Kali ini, saya nak beritahu menjadi usahawan bukan remeh dan ia boleh dilakukan selagi ada minat dan usaha,” katanya.

Terbaru, Dazrin baru sahaja selesai penggambaran drama Hello Mr Spotlight dan telefilem Gerak Khas Raya.

Dia juga bakal bergelar produser dan kini dalam proses menyiapkan produk terbaru terbitannya berupa super telefilem bergenre seram.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 4:16am
d