rap

DFKL2018 tampil kelainan

Oleh Ardini Sophia Sina

JERAYAWARA Drama Festival Kuala Lumpur 2018 (DFKL2018) melabuhkan tirai di lokasi terakhir di sebuah hotel di Kuala Lumpur, hari ini.

Pengurus Drama, Kumpulan Pengurusan Jenama, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Marlia Zul Amran berkata, pihaknya menerima kira-kira 500 penyertaan uji bakat di dua lokasi siri jelajah itu diadakan.

"Tahun ini, buat pertama kalinya kami membawa pelakon Cina untuk memeriahkan 'roadshow' DFKL. Lebih kurang 50 orang peserta berbangsa Cina turut mencuba nasib.

"Penganjuran siri jelajah ini bukan hanya memberikan peluang untuk mereka mempamerkan bakat, tetapi memberikan pendedahan serta membimbing mereka agar lebih bersedia menceburi bidang seni lakon," katanya.

Jerayawara DFKL 2018 memulakan acara di lokasi pertama di Johor Bahru pada 23 dan 24 Februari lalu. Antara artis yang turut memeriahkan jelajah itu ialah Izzue Islam, Ashraf Muslim, Hafidz Roshdi, Bell Ngasri, Ayda Jebat dan Janna Nick.

Bengkel DFKL yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Pengarahan, Penulisan Kreatif dan Lakonan akan diadakan pada 31 Mac dan 1 April ini.

Antara panel yang bakal berkongsi ilmu ialah Jason Chong, Jason Kok, Fauziah Ahmad Daud, Eirma Fatima, Datin Diana Danielle dan Fasha Sandha.

Malam Anugerah DFKL 2018 pula diadakan pada 13 Mei dengan mempertandingkan 11 kategori antaranya Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis pilihan, Drama Pilihan dan Pengarah Pilihan.

Disiarkan pada: March 4, 2018 @ 11:47pm
d