rap

'Pedih' jenaka Jimmy Kimmel

Oleh Reuters

PELAWAK, Jimmy Kimmel membuka upacara Oscar dengan isu paling hangat yang membelenggu Hollywood sejak beberapa bulan kebelakangan ini iaitu kempen terhadap salah laku seks dan ketidaksamarataan terhadap wanita.

Dalam monolog pembukaannya, Kimmel secara berseloroh merujuk kepada patung Oscar bersaiz gergasi yang menghiasi pentas Anugerah Academy ke-90 dan berkata: “Oscar lelaki paling disayangi dan dihormati di Hollywood dan memang jelas sebabnya. Tengoklah, dia sentiasa memastikan anda nampak di mana dia meletakkan tangannya, tidak pernah bercakap kasar dan paling penting, kemaluannya tidak dilihat langsung.

“Inilah jenis lelaki yang sepatutnya lebih banyak wujud di bandar ini,” katanya.

Kenyataannya itu disambut riang hadirin terkemuka di Teater Dolby seterusnya meredakan ketegangan daripada acara itu susulan kemelut yang melanda industri hiburan sejak setahun lalu berhubung ketidaksamarataan terhadap wanita.

Kimmel juga secara terbuka menyelar Harvey Weinstein - antara nama paling terkemuka Hollywood yang disingkirkan daripada Akademi Seni dan Sains Perfileman selepas lebih 70 wanita menuduhnya atas salah laku seks termasuk rogol. Weinstein menafikan semua tuduhan terhadapnya.

“Dunia memandang kita. Kita perlu menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2018 @ 11:16am
d