rap

Impian bakal terlaksana

Oleh Ardini Sophia Sina

Dua tahun merancang dan menyusun strategi kemunculan semula, kumpulan Ruffedge boleh menarik nafas lega apabila lagu pertama mereka bakal diperdengarkan penghujung Mac ini.

Menurut seorang anggotanya, Mode Abdullah, kesibukan kerja dan urusan hidup masing-masing membuatkan perbincangan untuk tampil dengan single baru mengambil masa yang panjang.

“Setiap anggota Ruffedge sudah ada karier masing-masing selain sibuk dengan urusan keluarga. Keadaan itu membuatkan kami agar sukar berkumpul dan berbincang.

“Bagaimanapun, selepas dua tahun menyusun perancangan, impian untuk membuat kemunculan semula bakal terlaksana. Lagu baru kami akan mula diperdengarkan penghujung bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Cat Farish turut menyatakan Ruffedge bakal mengadakan konsert pengenalan semula bagi sesi pertama sebelum Ramadan diikuti sesi kedua selepas Aidilfitri nanti.

Bagaimanapun, tegasnya, tarikh dan susun atur program belum diputuskan. Mereka juga bersyukur kerana mempunyai pasukan yang dapat membantu merealisasikan konsert berkenaan.

“Selepas single dilancarkan, kami akan buat konsert pertama dijangkakan sebelum puasa dan kali kedua selepas Aidilfitri. Bukanlah konsert besar pun. Kami buat khas untuk peminat setia Ruffedge.

“Masa dan tempat belum diketahui lagi. Kami berikan sepenuh kepercayaan kepada pasukan gerak kerja untuk mencari lokasi sesuai dan tarikh konsert berkenaan,” kata Cat.

Ditanya tidakkah bimbang dengan penerimaan umum, mereka tetap positif dan enggan terlalu memikirkan maklum balas yang bakal diterima.

Kata Cat, dia hanya ingin menghasilkan lagu berunsurkan R&B Soul bagi memberikan warna pada senarai lagu dalam industri muzik pada masa kini.

Tambahan pula, tidak ada kumpulan yang menyanyikan sesebuah lagu dengan elemen harmoni. Kemunculan semula mereka mungkin boleh menarik anak muda yang punya kelebihan.

“Saya yakin, ramai anak muda ada kelebihan, tetapi takut untuk meneruskan perjuangan kerana bimbang dengan penerimaan umum. Apatah lagi lagu pada masa kini banyak genre balada, pop dan hip hop.

“Kami hanya ingin berkongsi karya yang dihasilkan. Kami tidak mahu terlalu memikirkan penerimaan peminat. Kami sudah biasa berhadapan situasi itu,” katanya.

Cat dan Mode ditemui ketika sidang media Raikan Hari Lahir Boboiboy yang diadakan minggu lalu.

Selain mereka berdua, kumpulan Ruffedge turut dianggotai Zain Hamid, Azan Addin dan Sein.

Ruffedge juga akan membuat persembahan pertama secara umum pada 17 Mac sempena hari jadi Boboiboy di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh, Perak.

Disiarkan pada: March 6, 2018 @ 6:31am
d