rap

Penilaian pada acara pratonton

Oleh Norhayati Nordin

Industri perfileman adalah cabang perniagaan yang perlu diambil berat oleh penerbit dan pengarah filem tanah air.

Apatah lagi, dalam senario penonton masa kini yang lebih bijak semestinya adunan filem dihasilkan perlu berkualiti.

Pengerusi Skim Wajib Tayang Zaharin Aris berkata untuk 2018 banyak karya filem cereka terbaik akan menjengah pawagam.

“Namun, apa judulnya biarlah dirahsiakan dulu. Namun, saya yakin penonton tidak akan kecewa apabila ke panggung nanti.

“Bagi saya, sesuatu karya cereka terbaik mampu dihasilkan perlu dinilai daripada beberapa sudut.

“Paling utama jalan cerita yang diketengahkan. Selain itu, dilihat juga kos pembikinan produksi dan bajet promosi,”katanya.

Bagaimanapun, menerusi Skim Wajib Tayang sebelum keputusan dibuat bagi menentukan tarikh dan jumlah pawagam diperoleh penerbit untuk tayangan, acara pratonton akan dilakukan.

“Ahli jawatankuasa Skim Wajib Tayang akan membuat penilaian pada acara pratonton itu yang kemudian diadakan pula mesyuarat untuk keputusan diputuskan.

“Jika tiada masalah aspek teknikal seperti rakaman pada gambar, bunyi dan audio termasuk kandungan cerita yang kreatif, sekurang-kurangnya 40 pawagam akan diberi.

“Namun, sekiranya kurang menepati aspek itu Skim Wajib Tayang masih memberi peluang memberi kelulusan pawagam dengan jumlah tertentu. Bagaimanapun, penerbit boleh membuat rayuan jika mahu penambahan,” katanya.

Sudah tiga penggal duduk di ‘kerusi panas’ Skim Wajib Tayang, Zaharin berkata semua keputusan dibuat mengikut peraturan ditetapkan dan hingga kini beliau tidak melanggarnya.

“Setakat ini, semua saya ikut seperti termaktub dalam peraturan yang sudah ditetapkan Skim Wajib Tayang. Jadi, saya harap semua penerbit filem sama ada lama atau baru, produksi besar atau kecil faham,” katanya.

Sehubungan itu, Zaharin juga menyangkal dua dakwaan dibuat pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang dianggap mempertikaikan kredibiliti pihaknya seperti disiarkan Harian Metro pada 28 Februari lalu.

Pertama, mengenai dakwaan wujudnya lima undi untuk tentukan jumlah pawagam dan seterusnya sikap ‘endah tak endah’ ahli jawatankuasa Skim Wajib Tayang terhadap penerbit kecil.

Zaharin ketika ditemui pada sidang media diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) berkata kenyataan dibuat itu kurang tepat.

“Oleh itu, saya dinasihatkan supaya membuat pencerahan mengenai isu dibangkitkan itu kerana tidak mahu wujud kekeliruan berterusan.

“Sebenarnya, isu undi didakwa itu bukanlah lima, tetapi satu saja yang keputusan dibuat merujuk pada kata putus jawatankuasa Skim Wajib Tayang.

“Ingin dijelaskan dalam jawatankuasa Skim Wajib Tayang, diterajui oleh saya sebagai pengerusi, diikuti Ketua Pengarah FINAS, Pengarah Ketua Perbadanan Bahagian Perlesenan, wakil Kementerian Komunikasi & Multimedia Malaysia (KKMM), wakil Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dan wakil pempamer,” katanya.

Zaharin menegaskan pihaknya tidak pernah bersikap ambil mudah apatah lagi menindas penerbit kecil.

Selain itu, Zaharin memaklumkan akan ada pindaan baru dibuat dalam Skim Wajib Tayang yang bakal diumum tidak lama lagi.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 4:48am
d