rap

Elvina nak kahwin dah [METROTV]

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PELAKON meningkat naik, Elvina Mohamad, 23, hari ini mengumumkan akan bernikah pada 18 Mac ini.

Elvina bakal bernikah dengan jejaka pilihan hatinya, ahli perniagaan, Datuk Haniff Borhan, 32 yang turut terbabit dalam sukan permotoran.

Dia mengumumkan perkara itu pada majlis di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis pernikahan akan diadakan di Hotel Royale Chulan, 18 Mac sementara majlis persandingan berlangsung pada 24 Mac, di tempat sama.

Dikenali menerusi drama bersiri Shh! I Love You, Elvina menjelaskan dia memilih tarikh 18 Mac kerana kebetulan tidak terbabit dengan sebarang penggambaran dan bercuti sejak awal Mac untuk membuat persediaan hari bersejarah dalam hidupnya itu.

Ditanya lanjut mengenai hantaran dan mas kahwin, pelakon berasal dari Teluk Intan, Perak itu menjelaskan hantaran dirahsiakan dan mas kahwin terpulang kepada bakal suami.

Elvina berkata dia akan mengadakan majlis pertunangan di sebelah pagi sebelum majlis pernikahan berlangsung sebelah petang.

Elvina akan kembali ke lokasi penggambaran drama dua hari selepas bersanding.

Drama terbaru lakonannya bertajuk Bila Tuhan Berbisik menyaksikan dia akan bergandingan dengan Hazama dan Datuk Awie.

Elvina dan Hanif mula kenal sebagai kawan 2016. Bagaimana pun cinta antara mereka mula berputik pada awal tahun lalu.

Disiarkan pada: March 7, 2018 @ 6:07pm
d