rap

2,000 peminat dari China turun KL

Oleh Amirul Haswendy Ashari

LEBIH dua ribu peminat dari China akan menyertai 20,000 penonton tempatan hadir pada malam World Premiere Filem Biografi (Biopik) Lee Chong Wei: Rise Of The Legend di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam esok.

Pengarah filem itu, Teng Bee, berkata dia terkejut dengan sokongan diterima daripada peminat pemain badminton jaguh dunia dunia itu yang sanggup 'terbang' ke sini semata-mata mahu menjadi penonton pertama menyaksikan filem itu.

"Saya mendapat tahu perkara itu selepas diberitahu pihak penaja yang kebetulan mempunyai hubungan baik dengan peminat legenda itu di sana.

"Sebahagian mereka mengeluarkan belanja sendiri termasuk tiket penerbangan dan penginapan manakala sebahagian lagi ditaja pihak penganjur," katanya gembira.

Tayangan perdana filem malam esok bakal mempertontonkan versi potongan pengarah (director's cut) berdurasi 133 minit berbanding 110 minit tayangan di pawagam tempatan.

Ia akan dipancarkan ke layar LED berukuran 40 meter panjang dan 17 meter tinggi dan bakal dicatat dalam Rekod Buku Malaysia (Malaysia Book of Records) dan Buku Rekod Asia (Asia Book of Records) untuk tayangan filem terbesar.

Filem biopik ini dijangka akan ditayangkan di lebih 5,000 pawagam di China, Taiwan, Jepun, Singapura, Hong Kong dan beberapa negara Asia.

Ia juga dalam perbincangan untuk tayangan di Amerika Utara.

Dibarisi pelakon baru dan lama antaranya, Datuk Rosyam Nor sebagai Misbun Sidek dan Tosh Chan sebagai Datuk Lee Chong Wei.

Filem akan mula ditayang di pawagam tempatan bermula 15 Mac ini.

Disiarkan pada: March 8, 2018 @ 7:05pm
d