rap

Semangat kental pelakon cilik

Oleh HM Digital

Suasana agak cemas menjelang hari pementasan teater Jalan Tepi Kubur apabila seorang pelakonnya, Muhammad Harish Syawal, 11, cedera akibat kemalangan pada minggu terakhir latihan dan dinasihatkan doktor supaya berehat daripada melakukan sebarang aktiviti.

Namun, disebabkan minat dan semangat yang berkobar-kobar, dia merayu kepada ibu bapanya dan pengarah, Sir Izman Saroni untuk terus berlakon teater yang dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur pada 2 hingga 4 Mac lalu.

Mengenangkan semangat dan usaha yang sudah dilakukannya selama berbulan-bulan untuk teater ini, mereka akur membenarkan Muhammad Harish berlakon dalam keadaan tangan kanan dan kaki kirinya berbalut.

Rakannya juga gembira dengan kemunculan Muhammad Harish dan tidak menganggap satu beban untuk mereka walaupun terpaksa menyorong kerusi rodanya setiap kali hendak ke mana-mana. Mereka cukup membantu sesama sendiri.

Jalan Tepi Kubur yang dibintangi murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Puteri, Rawang, menampilkan 15 pelakon kanak-kanak dan empat pelakon dewasa sebagai penyeri.

Rata-rata penonton yang hadir memuji lakonan mereka dan tidak menyangka kanak-kanak ini mampu membawakan watak orang dewasa dengan begitu sempurna.

Mereka juga berjaya membuka minda masyarakat bahawa teater kanak-kanak bukanlah sesuatu yang membosankan untuk ditonton.

Farah Alya, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memegang watak hantu Ratna Sari berjaya membuatkan penonton terpegun setiap kali kemunculannya.

Dia menyertai kelab teater SKBTP sejak berusia 16 tahun dan bakatnya terus digilap melalui bimbingan Sir Izman sehingga kini.

“Cabaran yang perlu dilalui saya apabila terpaksa belajar bercakap mengikut gaya orang lama kerana watak ini adalah seorang wanita yang sudah mati dibunuh dan ingin menuntut bela di atas kematiannya dan keluarga,” katanya.

Diakui sambutan penonton agak mengecewakan, tetapi ia langsung tidak melemahkan semangat semua pelakon yang turut dibantu Majlis Teater Selangor dalam aspek teknikal untuk tampil dengan persembahan terbaik mereka.

Sir Izman Saroni pula lega kerana persembahan berjalan lancar seperti dirancang mereka.

“Ia peluang terbaik buat anak didik saya meraih sebanyak mungkin pengalaman dan ilmu seni teater melalui kerjasama ini.

“Pihak MTS dan beberapa persatuan lain dalam gabungannya sangat komited dalam mewarnakan teater Jalan Tepi Kubur ini dari sudut teknikal dan kreativiti, sekali gus berjaya mendapat pujian daripada penonton,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini Kelab Teater SKBTP tidak pernah terbabit dengan tenaga produksi yang sebegini ramai serta iringan muzik secara langsung.

“Ia satu pengalaman baru yang sangat berguna untuk mereka. Mungkin ini satu permulaan bagi kami untuk lebih kerap menjalin hubungan yang lebih agresif dengan aktivis teater bebas ke arah mengindustrikan seni teater kanak-kanak,” katanya.

Disiarkan pada: March 9, 2018 @ 5:14am
d