rap

Memperingati P Ramlee

Oleh Norhayati Nordin

ARKIB Negara sedia membuka pintu kerjasama dengan pihak swasta yang berminat menganjurkan pameran berkaitanwarisan kebudayaan dan kesenian Malaysia seperti inisiatif yang dilakukan pihak Care Clinics.

Care Clinics yang diterajui sekumpulan doktor tampil bekerjasama dengan Arkib Negara dan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) menganjurkan pameran Memperingati P Ramlee.

Ketua Pengarah Arkib Negara,Datuk Azemi Abdul Aziz ketika ditemui berkata pihaknya sangat berbesar hati untuk terbabit dalam kerjasama itu.

"Sebenarnya,saya tidak sangka golongan doktor juga memiliki minat untuk meneroka sejarah hidup penggiat seni lagenda tanah air tersohor seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

"Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dilakukan ini sangat murni kerana sejarah tokoh seni hebat seperti P Ramlee dikongsi dengan masyarakat orang awam di luar muzium," katanya.

Beliau berkata antara bahan sejarah yang boleh dikongsi Arkib Negara untuk projek CSR dilakukan merangkumi sejarah hidup tokoh politik, penggiat seni, ahli sukan yang menabur bakti pada negara.

Sementara itu, Pengerusi YA1M, Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave berkata, beliau juga teruja untuk memberi kerjasama.

"Sudah tiba masanya bahan sejarah tokoh seni tanah air seperti P Ramlee dibawa keluar dari muzium untuk dipamerkan kepada masyarakat.

"Apatah lagi, untuk maklumat itu dikongsikan kepada generasi muda masa kini supaya tidak luput ditelan zaman.

"Dalam kesibukan kerja masa kini, jarang untuk ibu bapa ada waktu untuk membawa anak mereka meneroka sejarah tokoh di muzium. Jadi, apabila pemeran itu dibuat di lokasi luar yang lebih terbuka, ia diyakini boleh mendapat sambutan baik," katanya.

Terdahulu, Azemi dan DJ Dave hadir pada majlis makan malam penghargaan Care Clinics di hotel di Selayang. Turut sama, Pengerusi Care Clinics, Dr Azura Ahnad.

Selain itu, DJ Dave juga diberi penghormatan merasmikan pameran Memperingati P Ramlee yang akan berlangsung Sabtu dan Ahad ini di Mercure Selangor Selayang.

Pameran secara percuma itu berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang dan orang ramai dijemput hadir untuk meneroka sejarah hidup seniman negara, P Ramlee.

Disiarkan pada: March 10, 2018 @ 12:01am
d