rap

Suntik inspirasi wanita

Oleh Norhayati Nordin

Kalau diukur pengalaman bertugas di konti radio, dua wanita ini boleh dianggap masih hijau. Namun, menariknya mereka ada imej tersendiri.

Bagi Lin Ariffin, tampil berhijab tidak menghalangnya berfesyen. Bertudung membuatkan Lin tampil lebih yakin dan bergaya.

Manakala, Anna Aljuffrey pula berjiwa lasak dan memilih motosikal berkuasa tinggi sebagai pengangkutan hariannya.

Mampu menyuntik inspirasi buat golongan wanita negara ini, tegas Lin dan Anna pilihan di tangan tuan punya badan.

Bertemu mereka baru-baru ini, Lin atau Siti Amalina Ariffin, 30, bertugas di Zayan FM manakala Anna atau nama sebenar Sharifah Nur Farhana Syed Talib Aljuffrey, 27, pula penyampai Gegar FM yang dulunya dikenali sebagai THR Gegar.

Menurut Lin, tidak pernah terlintas di fikiran menceburi dunia penyiaran radio.

“Selepas beberapa bulan bertugas di konti Zayan FM, saya makin selesa.

“Pendengar pun sudah mula mengenali Zayan FM dan saya pula penyampai radio wanita tunggal stesen ini.

“Setakat ini, saya puas dapat berkongsi pelbagai maklumat dengan pendengar merangkumi fesyen Muslimah, aktiviti pelancongan, makanan halal dan riadah.

“Bagi saya, apa yang dikongsikan itu wadah terbaik yang boleh dimanfaatkan masyarakat Islam,” katanya.

Ibu kepada Edruce Adam Muhammad Azreen yang berusia dua tahun ini bersyukur suami memahami kerjayanya.

“Saya beruntung suami dan keluarga merestui keputusan saya menceburi dunia penyiaran radio.

“Berkat sokongan tidak berbelah bahagi itu, saya dapat mengenal pasti bakat lain yang ada dalam diri.

“Kalau sebelum ini, mungkin terlepas pandang tetapi kini masa untuk saya maju dalam karier pilihan,” katanya.

Mengendalikan slot #ZOTD bermula jam 10 pagi hingga 3 petang, Lin berkata, pendengar Zayan FM berusia 18 hingga 35 tahun.

Mengulas fesyen tudungnya yang sering menjadi perhatian peminat, Lin berkata, dia menggayakan ikatan selendang yang mudah.

“Ikatan selendang yang selalu saya gayakan mudah dibentuk. Sesingkat dua minit boleh siap.

“Tidak ambil masa yang lama pun dan itu yang saya suka,’ katanya yang mengagumi gaya Muslimah Datin Vivy Yusof.

Anna kaki motosikal

Wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi bukan perkara baru. Apatah lagi, pada zaman moden dan serba pantas.

Anna berkata, dia selesa menunggang motosikal berbanding memandu kereta kerana lebih pantas sampai ke lokasi yang dituju.

“Maklum saja, tugas saya di konti radio Gegar FM bermula seawal jam 6 pagi dan berakhir 10 pagi.

“Jadi, selalunya saya perlu sampai ke tempat sekitar jam 5 pagi. Semestinya menunggang motosikal lebih pantas.

“Saya minat menunggang motosikal sejak remaja lagi. Syukur, keluarga saya sangat memahami,” katanya.

Anna yang menunggang motosikal berkuasa tinggi Kawasaki berkata, meskipun tidak perlu berdepan kesesakan jalan raya, dia tetap menekankan aspek keselamatan.

“Orang kata malang tak berbau tetapi saya yakin kecelakaan boleh dielak jika kita mematuhi undang-undang jalan raya.

“Tidak perlu tergesa-gesa kejar masa dan menunggang laju. Keselamatan diri wajar diutamakan,” katanya.

Mengulas pembabitannya dalam dunia penyiaran radio, Anna berkata, semuanya berlandaskan minat.

“Kalau nak tahu bapa pernah halang saya jadi penyampai radio.

“Apa sebab sebenarnya, hanya bapa yang tahu. Bagaimanapun, akhirnya bapa boleh terima dan merestui keputusan saya,” katanya.

Berkhidmat di Gegar FM sejak Mei 2016, Anna berganding dengan Shah mengendalikan segmen Ceria Pagi.

Gegar FM yang berjaya memikat hati pendengar Pantai Timur melakar pengalaman berharga buat si manis ini.

“Pendengar di Pantai Timur kebanyakannya sangat ramah. Mereka (pendengar) juga suka berkaraoke.

“Antara slot yang diisi dalam segmen Ceria Pagi kendalian saya adalah ‘prank’ pendengar, karaoke, juara belit lidah, buletin abe molek, salam Gegar pagi dan Tanya PU Lokman,” katanya.

Sehubungan itu, Anna berkata, kelompok sasaran pendengar Gegar FM berusia dari 15 hingga 40 tahun.

Disiarkan pada: March 11, 2018 @ 9:29am
d